KUALA LUMPUR – Hujan sekejap-sekejap
kadangkala sederhana diramal berlaku di Terengganu, Pahang dan Johor
selama tiga hari bermula Jumaat ini, yang boleh menyebabkan berlakunya
banjir di kawasan rendah.
Kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia
pada Selasa menyebut hujan lebat dijangka dialami di beberapa daerah di
Kemaman, Terengganu; Pekan, Rompin dan Kuantan, Pahang; dan di Mersing,
Kluang dan Kota Tinggi; Johor.
Selain itu angin kencang Timur Laut
dengan kelajuan 50-60 kilometer sejam dijangka berlaku di perairan
Kelantan, Terengganu, Pahang, Tioman, Johor Timur, Sarawak, Wilayah
Persekutuan Labuan manakala ombak setinggi hingga 4.5 meter juga
dijangka berterusan sehingga Jumaat ini.
Menurut kenyataan itu keadaan angin
kencang dan laut bergelora ini amat berbahaya kepada bot-bot kecil serta
aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Jabatan itu berkata angin kencang Timur
Laut dengan kelajuan 60 kilometer sejam serta ketinggian ombak melebihi
4.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Condore, Reef North,
Layang-Layang dan Palawan dijangka berterusan sehingga Jumaat ini dan
berbahaya bagi aktiviti perkapalan.
Sementara itu amaran turut dikeluarkan
bagi aktiviti perkapalan di kawasan perairan Kelantan, Terengganu,
Pahang, Johor Timur, Samui, Tioman, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan,
Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat), Reef South dan Bunguran
dijangka berterusan sehingga Jumaat ini ekoran angin kencang Timur Laut
dengan kelajuan 50-60 kilometer sejam serta ombak mencapai sehingga 4.5
meter.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora
ini amat berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk
menangkap ikan dan perkhidmatan feri. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment