SAYA
diberitahu ada muda mudi Melayu yang tolak bangsa mereka sendiri.
Mereka berasa malu kerana mengakui mereka Melayu menjadikan mereka rasis
kononnya. Seseorang yang dicap sebagai rasis bermakna mereka berfikiran
sempit, tidak liberal, tidak menepati zaman. Lebih-lebih lagi jika
mereka diberi layanan yang istimewa kerana kemelayuan mereka. Ini tidak
adil.
Sejak
terlibat dengan usaha menebus maruah orang Melayu saya tidak
segan-segan mengaku saya Melayu. Saya biasa hidup di zaman penjajah.
Orang Melayu dan negeri Melayu dijajah oleh bangsa Portugis, Belanda,
British, Jepun dan Siam. Semasa dijajah orang Melayu dipandang hina oleh
penjajah. Saya biasa lihat orang Melayu ditendang di kepala hanya
kerana tidak menghormati lagu kebangsaan bangsa penjajah.
Penjajah
tetap berbangga dengan bangsa mereka. Tidak ada perasaan malu di
kalangan mereka berkenaan bangsa mereka. Mereka tidak pula anggap diri
mereka rasis. Sebaliknya mereka memelihara dan memupuk kebangsaan mereka
dan betapa tingginya bangsa mereka.
Pengalaman
dan pemerhatian saya di masa bangsa saya dan negeri Kedah saya dijajah,
membakar semangat kebangsaan saya. Saya berniat pada masa itu untuk
memulih semula maruah bangsa saya.
Dihormati
Berlainan
dengan orang yang malu kerana bangsa mereka, saya malu jika bangsa saya
dijajah dan dihina. Saya ingin bangsa saya dihormati oleh bangsa-bangsa
lain. Saya ingin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan
bangsa-bangsa lain di dunia.
Pada
masa dijajah saya tidak mampu untuk memiliki kuasa supaya saya dapat
buat sesuatu bagi menebus maruah bangsa. Walaupun dipandang hina oleh
penjajah dan orang lain yang lebih berjaya, saya anggap dengan mengejar
ilmu untuk menjayakan diri, sedikit-sebanyak saya dapat membuktikan
bangsa saya berkebolehan. Sudah tentu apabila saya berkuasa sebagai
Perdana Menteri maka saya tumpukan kepada mengguna apa juga kuasa dan
peluang yang ada pada saya untuk membebaskan bangsa saya daripada
dihina.
Caranya
adalah mewujudkan peluang supaya bangsa saya dibekal dengan ilmu dan
kecekapan supaya mereka maju. Alhamdulillah berkat sokongan daripada
kebanyakan bangsa saya, usaha ini berhasil.
Hari
ini orang Melayu tidak lagi dipandang hina, sudah tentu tidak boleh
ditendang oleh sesiapa. Hari ini orang Melayu dapat menguasai ilmu,
menjadi profesor di universiti, ahli professional yang terkenal, menjadi
saintis, menjadi peniaga dan pengusaha yang berjaya. Mereka mengepalai
tentera dengan gelaran jeneral, bijak membangunkan negara bahkan menjadi
angkasawan. Dan bermacam lagi.
Kita
tidak nafi yang kejayaan-kejayaan ini dihasilkan dari dasar dan rencana
kerajaan untuk menjayakan orang Melayu. Apa salahnya jika kerajaan
berusaha untuk mengurangkan jurang kaya miskin di kalangan rakyat.
Bukankah ini satu dari tanggungjawab kerajaan. Apakah kerajaan harus
terima sahaja yang miskin terus miskin, yang kaya semakin kaya.
Apakah
benar orang lain tidak ditolong oleh bangsa mereka. Sebenarnya semua
bangsa di dunia membantu bangsa sendiri. Mereka sanggup membunuh bangsa
lain pun dalam usaha mereka menolong bangsa mereka. Kejayaan penjajah
adalah kerana kebangsaan mereka. Mereka berbangga dengan bangsa mereka.
Mereka mendakwa bangsa mereka superior. Dan mereka tidak pernah malu akan kebangsaan mereka walaupun semasa mereka menindas dan menghina bangsa lain.
Kepercayaan
Dalam
bidang perniagaan tolong menolong sesama bangsa memang diamalkan. Cuba
berniaga dengan bangsa lain? Biasanya kepercayaan kepada yang bukan
sebangsa amat sukar didapati. Sebaliknya orang Melayu mempunyai inferiority complex,
perasaan kerendahan diri sehingga berperasaan segala yang dilakukan
oleh mereka salah dan tidak seperti orang lain. Jika mereka berjaya pun
mereka akan kecam dan memburukkan yang berjaya kerana kononnya kejayaan
ini bukan kejayaan sebenarnya tetapi kerana ditolong atau kerana
penipuan atau dilindungi, atau kroni. Mereka turut mengecam orang Melayu
yang kaya kerana percaya tuduhan mereka adalah kroni dan penipu. Mereka
akan lebih lantang dari orang bukan Melayu apabila menuduh amalan yang
tidak baik. Mereka menyokong penuh tuduhan yang dibuat orang lain.
Mereka
sambut tuduhan rasuah terhadap orang Melayu walaupun tidak ada bukti
semua yang berjaya disebabkan rasuah. Mereka tutup mata terhadap rasuah
oleh orang lain. Mereka mengecatkan orang Melayu dengan cat yang
terhitam mungkin.
Kita tidak nafi adanya perlakuan yang tidak baik oleh orang Melayu. Tetapi orang lain juga melakukan perkara yang sama.
Sebenarnya
orang lain apabila berpeluang dan berkuasa akan amalan pilih kasih
berasas bangsa. Di negara di mana orang Melayu menjadi minoriti mereka
ditindas dan diketepikan. Layanan buruk ke atas Melayu minoriti tidak
dicap rasis, walaupun oleh orang Melayu. Mereka anggap wajarlah ini
berlaku.
Sepatutnya
yang mempertahankan keMelayuan mereka ialah mereka yang mampu menukar
dan menilai sendiri, dan mereka tentulah dari golongan orang Melayu yang
terpelajar. Yang peliknya puak inilah yang sering memiliki inferiority complex dan malu dengan keMelayuan mereka.
Amat
malang sekali apabila mereka yang menikmati kebahagiaan hidup kerana
mereka Melayu, begitu malu dengan bangsa mereka sehingga sanggup
menidakkan nikmat yang mereka terima kerana bangsa mereka.
Oleh TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD
No comments:
Post a Comment