ANIMSI

home

Followers


Tuesday, 27 November 2012

'Saya bukan pelacur'




KUALA LUMPUR: Dia cukup dikenali di kalangan artis lelaki tempatan termasuk pelakon dan penyanyi daripada program realiti serta golongan korporat kerana kepakarannya memulihkan masalah lemah tenaga batin.

TERIMA TEMPAHAN...Lia menerima panggilan telefon daripada pelanggan lelaki yang mahukan perkhidmatan urutan batin.
Tidak hairanlah wanita tukang urut ini mendakwa pernah melakukan urutan batin terhadap lebih 1,000 pelanggan lelaki yang kemaruk teknik urutan istimewa ditawarkannya.
Wanita ini bukan calang-calang tukang urut kerana mendakwa mempunyai kepakaran khusus bagi menambah kekuatan syahwat lelaki berikutan ilmu dipelajari melalui beberapa `guru’ berpengalaman.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Lia, 43, mendakwa langsung tidak berasa jijik terhadap kerja dilakukan dengan alasan tugasnya hanya untuk membantu lelaki yang menghadapi masalah lemah tenaga batin.

Lebih mengejutkan, apabila suaminya yang bekerja di sebuah badan berkanun langsung tidak mengetahui aktiviti dilakukan kerana menyangka wanita terbabit sekadar bekerja sebagai bidan serta tukang urut wanita baru bersalin.

Lia berkata, kerjayanya sebagai tukang urut bermula kira-kira 12 tahun lalu selepas diajak bekerja oleh rakannya di sebuah pusat urutan di Pandan Jaya, Ampang.

Menurutnya, dia yang ketika itu masih muda dan naif tertarik dengan pekerjaan itu selepas ditawarkan pendapatan sehingga RM2,000 sebulan.

“Saya mulanya menyangka ia sekadar urutan tradisional biasa, namun terkejut apabila pemilik pusat urutan tradisional terbabit memberitahu saya perlu melakukan urutan batin bagi mendapatkan lebih komisen.

“Walaupun kekok dan malu, selepas diajar serta diberikan `kelas’ bimbingan oleh beberapa pekerja senior, saya mulai biasa dengan tugas itu,” katanya selepas dipujuk wartawan menceritakan pengalaman kerjayanya.

Menurutnya, bagi setiap bayaran urutan batin dilakukan, pelanggan membayar tambahan RM50 selain kos urutan RM60.

“Daripada bayaran RM50 bagi urutan batin, saya menerima komisen RM20 manakala baki RM30 lagi diambil tauke.
“Ada kalanya ada pelanggan lelaki datang bukan untuk mengurut badan, namun semata-mata untuk merasai urutan batin hingga sanggup membayar sekali ganda harga perkhidmatan ditetapkan,” katanya.

Namun, selepas bekerja selama lima tahun, dia berasakan kerjayanya seolah-olah dikongkong, apatah lagi dengan gaji yang masih di takuk lama selain keuntungan diperoleh hasil komisen `dirembat’ tauke.

“Atas nasihat rakan saya berpindah dari satu rumah urut ke rumah urut lain sebelum akhirnya mengambil keputusan bergiat secara solo berikutan sudah mempunyai ratusan pelanggan tetap yang hanya perlu menghubungi saya melalui telefon.

“Saya akan dihubungi melalui telefon bimbit untuk tempahan sama di bilik hotel, pangsapuri atau di pusat urut milik rakan di Greenwood, Gombak,” katanya.

Menurutnya, dia hanya menawarkan urutan badan dan batin tanpa membabitkan hubungan seks.

“Bukan tiada pelanggan sanggup membayar lebih jika saya bersetuju melakukan aksi ranjang, namun saya menolak dengan baik kerana tidak mahu merosakkan profesion dan dilabelkan pelacur.

“Saya masih ada maruah dan hanya melakukan tugas mengurut tubuh terutama bahagian saraf tertentu pada kemaluan lelaki yang mampu memulihkan keinginan syahwat `lembik’ selain mengembalikan kejantanan,” katanya.

Menurutnya, ada antara artis lelaki yang datang berurut dengannya mengalami masalah `mati pucuk’ ketika usia muda kerana terlalu kerap melakukan onani atau terbabit seks bebas sejak usia belasan tahun.

“Selepas tiga hingga lima kali menjalani rawatan, kebanyakan mereka mampu pulih seperti sedia kala dan berpuas hati dengan khidmat saya,” katanya sambil sibuk mengangkat panggilan telefon daripada pelanggan.

Lia berkata, ramai masyarakat tersalah anggap kerana menyangka kerjayanya tidak ubah seperti `pelacur’ berikutan sanggup memegang kemaluan lelaki untuk melakukan urutan batin.

“Semua yang saya lakukan (urutan batin) bukan ‘semberono’ kerana ia dilakukan mengikut langkah demi langkah dimulai dengan urutan pada bahagian perut, paha, pinggang dan bahagian bawah pusat menggunakan minyak urut khas.

“Ia diikuti urutan pada bahagian pangkal kemaluan yang dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikan urat darah yang tersimpul kembali lancar,” katanya.

Menurutnya, dia mampu memperoleh sehingga RM100 bagi pelanggan biasa dan RM200 bagi pelanggan istimewa terutama di kalangan selebriti. Adakalanya dia mampu memperoleh pendapatan sehingga RM4,000 sebulan hasil kerja itu.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu bagaimanapun cukup berahsia dan enggan mendedahkan identiti pelanggan di kalangan artis yang pernah mendapatkan khidmat urutan batin dengannya kerana berpegang kepada janji dan prinsip.

“Jika saya sebut nama artis berkenaan, pasti satu Malaysia mengenalinya, namun saya sudah berjanji merahsiakan nama mereka atas dasar bisnes,” katanya.

No comments:

Post a Comment