KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri, yang menanti kelahiran cahaya
mata kedua maut selepas dirempuh sebuah bas sekolah dalam satu
kemalangan di Jalan 15/56 AU 3, Keramat di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa Hafeeze Mohd Hanafi, 30,
bersama isterinya Siti Noor Edayu Roslan, 26, yang hamil tujuh bulan,
menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda Z, dirempuh dari belakang
semasa berhenti di satu persimpangan lampu isyarat.
Ketika kejadian,
Hafeeze, seorang anggota tentera yang bertugas di Bahagian Gaji,
Kementerian Pertahanan di sini dalam perjalanan menghantar Siti Noor
Edayu, kerani di sebuah syarikat di Cheras.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi
Superintendan Abdullah Roning, berkata ketika berhenti di satu
persimpangan lampu isyarat, mereka dilanggar bas berkenaan yang datang
dari arah Flat Polis Cempaka menghala ke Taman Setiawangsa.
Beliau berkata kejadian itu dipercayai berlaku ekoran kegagalan
pemandu bas mengawal kenderaannya ketika menuruni bukit lalu melanggar
mangsa yang sedang berhenti di belakang sebuah bas sekolah yang lain di
persimpangan itu.
Pelanggaran itu menyebabkan pasangan itu tersepit di antara dua bas. Mereka meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kita masih menyiasat…bagaimana bas itu hilang kawalan. Mungkin ia
berpunca daripada kegagalan sistem brek,” katanya menerusi khidmat
pesanan ringkas (SMS). Beliau berkata mayat mereka dihantar ke Hospital
Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.
Sementara itu, dua saksi yang ditemui di lokasi kejadian menyifatkan
kemalangan tragis itu berpunca daripada bas yang dipandu laju ketika
menuruni bukit yang curam sehingga gagal dikawal dan bergesel dengan
sebuah kenderaan sebelum merempuh sebuah motosikal.
Saiful Azhar Ismail, 39, berkata beliau yang dalam perjalanan ke
tempat kerja melihat bas sekolah yang menuruni bukit dengan laju cuba
mengelak sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan sebelum merempuh
pasangan suami isteri itu.
“Sebelum melanggar motosikal itu, saya nampak bas tersebut cuba
mengelak kereta Mercedes, lalu menghentam motosikal yang dinaiki mangsa
di hadapannya, menyebabkan mereka tersepit di antara dua bas,” katanya.
Khairi Azwan, 29, pula berkata kemalangan maut itu melibatkan
sekurang-kurangnya sembilan kenderaan iaitu dua bas, lima kereta dan dua
motosikal.
“Saya turut membantu mangsa yang cedera dan sempat membawa keluar pelajar-pelahar sekolah dari bas berkenaan.
“Saya lihat pemandu bas yang merempuh kenderaan itu hanya mengalami
kecederaan di lutut,” katanya yang ketika itu dalam perjalanan ke kedai
runcit berdekatan.
Dalam pada itu, bapa Siti Noor Edayu, Roslan Jalil, 53, berkata
kehilangan anaknya adalah sesuatu yang di luar jangkaan ketika mereka
semua menanti kelahiran anggota keluarga baru.
“Saya tidak sangka perkara ini boleh berlaku ke atas anak saya.
Namun, saya terima takdir ini dan reda beliau sudah tiada,” katanya
ketika ditemui di Bilik Mayat HKL.
Pasangan itu meninggalkan seorang anak lelaki berusia dua tahun.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment