KUALA LUMPUR – Pasangan kekasih memberi alasan menyewa di sebuah
hotel selepas penat membeli-belah pakaian dan barangan sempena
Aidilfitri ketika dicekup Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
(Jawi), awal pagi semalam.
Wanita yang hanya berkemban dengan
tuala itu dicekup bersama pasangannya yang hanya memakai seluar pendek
di hotel berkenaan pada jam 1 pagi.
Ketua Pegawai Penguatkuasa
Jawi, Wan Jaapar Wan Ahmad berkata, wanita berusia 24 tahun itu membuka
pintu bilik selepas pintu bilik diketuk.
“Wanita itu memberi
alasan hanya dia seorang diri tidur di dalam bilik berkenaan, namun
pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki menyorok di tandas,” katanya.
Menurutnya, lelaki berusia 24 tahun itu memberi alasan dia tertidur di dalam bilik selepas membeli-belah.
“Difahamkan lelaki terbabit tidak bekerja, manakala pasangannya bekerja di sebuah syarikat swasta,” katanya.
Dalam
operasi yang berasingan yang dijalankan bersama Jabatan Imigresen Kuala
Lumpur, sepasang kekasih yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan dicekup
khalwat di sebuah hotel berasingan.
Beliau berkata, lelaki berusia 42 tahun itu sudah berkahwin, manakala pasangannya berusia 18 tahun tidak mempunyai pekerjaan.
“Pasangan
berkenaan juga memberi alasan membeli-belah sempena Aidilfitri. Pada
awalnya lelaki berkenaan memberi alasan gadis terbabit merupakan
tunangnya,” katanya.
Kedua-dua pasangan terbabit antara 23 individu yang dicekup khalwat di lima hotel bajet sekitar ibu kota.
Beliau
menasihati ibu bapa memantau anak mereka kerana kebanyakannya yang
dicekup khalwat memberi alasan membeli-belah bersama pasangan di sini.
“Ibu
bapa harus bertanggungjawab, jangan memberi kelonggaran dan kebebasan
terhadap anak mereka kerana khuatir mereka akan terlanjur di hotel
bajet,” katanya.
No comments:
Post a Comment