Politik
adalah seni pengurusan angka, persepsi dan permainan propaganda. Dalam
mana-mana parti di seluruh dunia atau peringkat antarabangsa, mereka
mempunyai strategi tertentu dalam konteks untuk mempengaruhi sikap,
pendirian, pemikiran rakyat yang mereka dampingi.
Dalam konteks meneroka 'strategi' parti-parti pembangkang di negara
ini, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan
berterus-terang mengenai politik semasa tanah air.
"Dalam konteks memahami strategi parti pembangkang di Malaysia, kita
tak boleh mengasingkan strategi parti dengan strategi individu tertentu
khususnya Anwar Ibrahim.
"Ini disebabkan strategi pada pandangan umumnya adalah strategi yang
didasari oleh pemikiran-pemikiran politik baru yang dicanangkan oleh
ketua pembangkang itu," kata beliau dalam satu pertemuan di Kuala
Lumpur.
Fuad membahagikan pengamatan beliau kepada elemen strategi berikut.
Ia, kata beliau untuk renungan dan penilaian rakyat yang diakuinya kini
matang dalam mengikuti perkembangan politik tanah air.
1. Strategi terus kepada rakyat
- Ini bermakna dia berkomunikasi langsung dalam bentuk bersemuka atau
tidak langsung dalam media sosial, media elektronik yang dikuasai serta
media cetak yang dikuasai bagi maksud menyampaikan mesej dalam bahasa
dan perbandingan yang mudah kepada rakyat.
Dalam konteks ini, umum tahu bahawa ketua pembangkang mempunyai
'keistimewaan tersendiri' khususnya dari segi penguasaan bahasa dan juga
ideologi serta hubungan awam serta 'pengurusan pentas yang bijak'.
Sama ada beliau berada di dalam mahkamah ataupun luar mahkamah
ataupun dalam media cetak atau media sosial, mesej yang hendak
disampaikan adalah kepada rakyat. Dan bukannya kepada hakim, akhbar dan
kepada penonton tv yang terbatas.
Itu sebabnya kadang-kadang dia tidak menjawab soalan-soalan mahkamah.
Dia tidak menjawab soalan-soalan para hakim kepadanya. Tetapi dia
menjawab 'apa yang rakyat mahu dengar'.
2. Dikambinghitamkan
- Dalam konteks ini UMNO yang selalunya menjadi 'scapegoat' atas apa
sahaja isu masyarakat. Sama ada sampah, longkang, isu tanah ataupun isu
pegawai kerajaan yang kecewa ataupun isu kemalangan jalan raya, maka
semua dikatakan ini perbuatan UMNO.
Strateginya adalah megambil kesempatan pada ruang dan peluang untuk menghasut rakyat merasai kecewa atau marah kepada pemimpin.
Lumpuhnya UMNO bererti lumpuhnya BN. Sebab itu fokus tumpuan serangan
yang diberikan haruslah kepada UMNO dan UMNO dijadikan 'kambing hitam'
dalam setiap kesalahan umum dan kekecewaan rakyat dalam apa jua isu.
3. Seruan mengikut pihak majoriti
- Setiap pihak khususnya 'parti yang berkenaan' sering ingin menggambarkan mereka berada di pihak majoriti.
Pertama, melalui meramaikan jumlah pendengar atau penonton ceramah.
Yang kedua, memujuk ikon-ikon masyarakat yang kecewa seperti artis,
bekas pegawai kerajaan dan tokoh-tokoh masyarakat yang berpengaruh untuk
menunjukkan satu gelombang peralihan kepada kumpulan mereka. Itu
sebabnya akhir-akhir ini kita dapat melihat ramai artis dipujuk untuk
menyertai ceramah-ceramah mereka.
Jadi, apa yang patut dibuat? Yang patut kita buat sebenarnya ialah
tunjukkan lebih ramai lagi orang berpengaruh yang berada di pihak
kerajaan. Mereka ini harus diberikan perhatian, diberikan tumpuan.
Kebanyakan orang lama ini adalah orang yang sudah berjasa, sudah melalui
zamannya dan mereka ini memberikan sumbangan kepada kerajaan.
Jadi, sekiranya kerajaan tidak melihat kepada mereka, sudah tentulah
mereka akan mencari platform yang lain. Tolong jaga kumpulan ini.
4. Kenyataan memukau
- 'Mereka' memberikan janji dan harapan yang dilihat macam praktikal
dan logik. Tetapi sebenarnya palsu. Antaranya, memberikan harapan kepada
rakyat dengan pelbagai janji seperti menurunkan harga barang dan harga
minyak walaupun tidak mengambil kira pasaran dunia. Walhal tidak pula
dibicarakan tentang soal bagaimana mencipta kekayaan dan bagaimana
mendapatkan pertumbuhan negara.
Yang dibicarakan adalah pengagihan... pengagihan...pengagihan. Tidak
keterlaluan dikatakan bahawa rakyat sekarang ini sudah dipasak dengan
pemikiran rasuah.
5. Serangan berterusan
- Strategi ini banyak rakyat dapat lihat. Bertalu-talu, bertubi-tubi
dan berfokus khususnya kepada ketua pimpinan, dalam konteks ini Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi sasaran yang pelbagai. Dalam
kes-kes tertentu isu dicipta seperti kes pembunuhan wanita Mongolia.
Najib yang semasa itu masih menyandang jawatan Timbalan Perdana
Menteri pada malam 22 Ogos 2008 telah melafazkan sumpah di depan jemaah
Masjid Guar Perahu, Pulau Pinang bahawa beliau tidak terlibat atau
mengenali wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.
Walau apa pun Perdana Menteri buat, tetapi oleh kerana konsep
'kambing hitam' dan serangan bertubi-tubi, imej negatif berkenaan masih
terpalit. Antaranya, ciptaan 'pengurusan pentas antarabangsa' seperti
Mahkamah Perancis dan peristiwa Suaram berjumpa wakil pegawainya di
Thailand (isu kapal selam Scorpene).
Ini memang 'seni' pakatan pembangkang. Ketua Pembangkang juga sering
kali berlagak sinis dan membuat lawak jenaka terhadap ucapan-ucapannya
sendiri sehingga membuatkan orang tergelak dan sebagainya.
Dan mesej yang menyebabkan orang ketawa dan tergelak ini mudah
diterima oleh masyarakat walaupun serangan yang begitu keterlaluan dan
bertubi-tubi ini sudah banyak kali didengar oleh masyarakat. Ada
tanda-tanda, sekarang masyarakat sudah kurang ambil kisah tentang
tuduhan-tuduhan itu kerana apa-apa perkara pun kalau keterlaluan,
masyarakat Melayu yang mempunyai nilai dan budaya sendiri akan
menolaknya.
6. Kesaksian
- Ini digunakan bagi maksud untuk menangkis tuduhan-tuduhan mahkamah
terhadap diri individu berkenaan yang digunakan oleh ketua pembangkang
yang kemudiannya menjadi amalan kepada pengikutnya. Iaitu menggunakan
seseorang atau lembaga untuk mendukung atau mengecam sesuatu tuduhan
iaitu dengan cara menggunakan pakar atau ahli atau saksi langsung dalam
kes-kes mahkamah.
Contohnya, sekiranya sesuatu kes dibicara dengan membawa pakar
forensik atau hakim tertentu dari dalam negara, maka 'dia' akan
'counter' dengan membawa pakar forensik dan bekas-bekas hakim supreme
council dari luar untuk mewujudkan dua pandangan yang berbeza. Yakni,
tidak ada satu pendapat yang mutlak.
Malah, ada juga dengan cara agama khususnya mengambil pendapat
ulama-ulama luar. Dr. Yusof al-Qhardawi contohnya, boleh digunakan bagi
maksud memberi prinsip-prinsip umum menurut hukum Islam walaupun orang
berkenaan mungkin tidak mengetahui perincian tentang peristiwa yang
berlaku dalam satu-satu kes.
7. Pendekatan pertentangan kelas
- Pakatan pembangkang merupakan gabungan longgar pelbagai ideologi
politik bagi maksud jangka pendek menawan Putrajaya. Dalamnya masih
tersirat agenda kaum dan agama yang ekstrem dan tersembunyi. Penyusupan
parti sosialis dalam pakatan itu terlibat dalam penonjolan pendekatan
pertentangan kelas yang menjadi cara terbuka. Mereka mengapi-apikan
rakyat dengan membuat perbandingan kekayaan, pangkat dan kedudukan.
Misalnya menanam kebencian rakyat terhadap golongan kaya (kekayaan
dikaitkan dengan kronisme dan rasuah) dan menanam kebencian kepada
feudalisme seperti institusi raja-raja. Pendekatan seperti ini pernah
meruntuhkan banyak dinasti dan kerajaan beraja pada masa lampau.
Fuad berkata, ada banyak lagi 'strategi' yang digunakan pakatan
pembangkang. Dan apa yang patut dibuat ialah ia harus dijawab oleh tuan
punya diri terlebih dahulu sebelum dibantu oleh orang lain.
"Sekiranya tuan punya diri menjawab, barulah orang lain boleh bantu.
Tapi kalau tuan punya diri mendiamkan diri, perkara itu sukar untuk
pihak-pihak lain membantu," katanya.
No comments:
Post a Comment