AMPANG - Seorang wanita sanggup menyorok di dalam almari bagi
mengelakkan diri dicekup dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Agama
Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, di
sebuah apartmen, di sini awal pagi semalam.
Wanita yang hanya berkemban itu ditahan bersama pasangannya pada jam 1.40 pagi.
Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, berdasarkan aduan
orang awam, sepasukan anggota yang diketuainya memeriksa kediaman
berkenaan.
Menurutnya, selepas mengetuk pintu bilik tidur pasangan terbabit, seorang lelaki hanya berseluar pendek membuka pintu.
“Lelaki berusia 24 tahun itu memberi alasan hanya dia seorang diri tidur
di dalam bilik berkenaan, namun pemeriksaan lanjut menemui seorang
wanita berusia 23 tahun menyorok di dalam almari pakaian,” katanya.
Beliau berkata, ketika ditahan wanita itu memberi alasan dia tertidur di dalam bilik teman lelakinya selepas berbuka puasa.
“Wanita berkenaan bekerja di sebuah pasar raya di ibu kota, manakala
lelaki terbabit bekerja di sebuah syarikat pembasmi serangga,” katanya.
Dalam operasi yang berasingan, sepasang kekasih dicekup khalwat di apartmen sama.
Ahmad Nawi berkata, pasangan berusia dalam lingkungan 20-an itu adalah penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di Melaka.
“Wanita yang berpakaian lengkap itu menyorok di belakang pintu bilik air
ketika serbuan dijalankan, manakala pasangannya hanya berseluar pendek
sedang baring di dalam bilik tersebut,” katanya.
Kedua-dua pasangan yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk dibuat laporan.
Operasi dijalankan mengikut Seksyen 29 (1) (a) (b), Enakmen Jenayah
Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau
penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
No comments:
Post a Comment