ANIMSI

home

Followers


Wednesday, 7 December 2011

UCAPAN BAJET PAHANG 2012- MB PAHANG



 

Ucapan Bajet Pahang 2012

UCAPAN BAJET TAHUN 2012
YAB. MENTERI BESAR PAHANG 


ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

Yang Berhormat Tuan  Yang DiPertua,

1.     PENDAHULUAN

1.           Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah dan izinNya, dapat kita bersama-sama hadir di Dewan yang mulia ini dan dapat pula saya membentangkan Bajet Negeri  Pahang Darul Makmur Tahun 2012 sempena Persidangan Kali Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri yang Kedua belas pada pagi ini.

Saya mohon mencadangkan bahawa satu Rang Undang-Undang dinamakan :

“Suatu Enakmen bagi mengeluarkan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan tahun 2012 dan bagi memperuntukkan wang tersebut untuk maksud-maksud tertentu”

dibaca bagi kali kedua.

Yang Berhormat Tuan  Yang DiPertua,

2.     LATARBELAKANG

2.           Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wat’ala kerana dengan izinNya saya dapat membentangkan Bajet Negeri Pahang Tahun 2012 di Dewan yang mulia ini. Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan di Dewan yang mulia ini untuk merakamkan Ucapan Tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang telah membentangkan Bajet Negara bagi tahun 2012 pada    7 Oktober 2011 yang lalu.  Bajet yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana memperkenalkan pelaksanaan Bajet Berasaskan Keberhasilan atau ‘Outcome-Based Budgeting’ (OBB) bagi mengurus sumber Negara dengan lebih cekap. Pendekatan ini bertujuan untuk mengelakkan pertindihan perlaksanaan program dan projek serta memastikan sumber diagihkan mengikut keutamaan. Bajet 2012 dirangka dan direncana bertema “Dasar Transformasi Nasional, Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara”.

3.           Secara keseluruhannya Bajet 2012 yang dibentangkan baru-baru ini mencerminkan keazaman Kerajaan untuk meringankan beban rakyat tatkala dunia berada di ambang kemerosotan ekonomi. Jika ditinjau keadaan ekonomi dunia pada masa ini, krisis kewangan dunia semakin tenat disebabkan hutang melampau kerajaan-kerajaan di Eropah.  Keadaan ini dijangka akan terus berlarutan beberapa lama dan akan menjejaskan aktiviti ekonomi dunia. Kadar pengangguran yang tinggi di Eropah serta harga bahan komoditi yang melambung akan menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi kebanyakan negara di dunia. Walau bagaimanapun, Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan    Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yakin dan percaya terhadap kemampuan sektor-sektor ekonomi yang terdapat di Malaysia akan mampu mengisi kekurangan yang dialami oleh kemerosotan ekonomi dunia ini. Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengandungi pakej-pakej Rangsangan Khas yang  dijangkakan dapat mengharungi persekitaran yang semakin mencabar.

3.     PRESTASI EKONOMI NEGARA

4.           Secara keseluruhannya, ekonomi Malaysia merekodkan pertumbuhan stabil di antara 4 hingga 5 peratus dalam tempoh separuh pertama tahun 2011. Pertumbuhan yang agak baik ini didorong oleh perkembangan ekonomi domestik yang kekal tegap dan momentum ini dijangka akan terus meningkat dalam tempoh separuh kedua tahun 2011.



5.           Momentum ini bertambah baik  kerana perkhidmatan dan pelaburan swasta yang lebih rancak dan kebanyakan aktiviti ekonomi akan kekal bertambah baik dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.

6.           Pembentukan dasar dan strategi serta pengurusan ekonomi yang seimbang akan menjadi agenda utama Negara ke arah mencapai kestabilan ekonomi dan sosial Negara secara berterusan. Dalam pembentangan Bajet Tahun 2012         Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menggariskan  pelbagai inisiatif dan strategi serta program baru yang melalui 2 tunjang utama iaitu Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Program Transformasi Ekonomi.

7.           Pelaksanaan program di bawah dua tunjang utama ini menekankan tentang struktur transformasi yang di dalamnya sektor swasta akan memainkan peranan penting dalam memacu untuk meningkatkan aktiviti ekonomi dan pelaburan serta mengukuhkan tenaga kerja  ke arah budaya kreatif dan inovatif.  Dalam program ini pelaburan swasta bagi Malaysia dijangka akan meningkat ke tahap 15.9 %.




4.     PRESTASI EKONOMI NEGERI

        Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

8.           Pada awal tahun 2010, Kerajaan Negeri menjangkakan pertumbuhan ekonomi Negeri boleh berkembang sebanyak 7.1% iaitu 5.6% lebih daripada tahun 2009.  Ekonomi Negeri Pahang telah mendapat limpahan positif pengekalan prestasi baik ekonomi Malaysia.  Antara penyumbang utama kepada perkembangan ini adalah peningkatan pelaburan domestik terutama dari sektor swasta melalui pelaburan asing (FDI) mahupun pelaburan tempatan.

9.           Tahun 2011 pula  adalah merupakan tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan ini merupakan rancangan 5 tahun Negara di dalam merancang program dan projek untuk kebajikan rakyat di Negeri ini.  Peningkatan kali ini adalah bertambah ke arah melaksanakan ‘Rolling Plan’  iaitu perancangan Perbelanjaan Pembangunan 2 tahun iaitu Rolling Plan 1 (2011-2012); Rolling Plan 2 (2012 – 2013); Rolling Plan 3 (2013-2014); dan Rolling Plan 4 (2014-2015).  Pelaksanaan Rolling Plan ini membolehkan projek yang tidak diluluskan di bawah Rolling Plan 1 boleh dipohon di bawah Rolling Plan 2, 3 ataupun 4. Pelaksanaan Rolling Plan ini berbeza dengan apa yang pernah dilaksanakan bagi cadangan  Pembangunan 5 tahun terdahulu.

10.        Bagi melaksanakan Rolling Plan 1, Negeri Pahang telah meluluskan 500 projek bernilai RM5.06 bilion berbanding permohonan asal yang berjumlah RM54.7 bilion yang melibatkan 1,610 projek. Pengkelasan projek-projek yang diluluskan  adalah merangkumi beberapa bidang pelaburan di bawah 10 NKEA Negeri iaitu minyak, gas dan tenaga; perkhidmatan kewangan; pemborongan dan peruncitan; minyak sawit; penjagaan kesihatan; perkhidmatan perdagangan; pertanian; pelancongan; komunikasi; infrastruktur dan pendidikan.  Keutamaan Kerajaan Negeri masih lagi tertumpu kepada projek-projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-9 dan juga Rancangan Pelan Strategik Negeri dan Rancangan Tempatan Daerah. Bagi projek-projek baru yang dianggap perlu untuk dimasukkan ke dalam Rolling Plan, projek-projek ini mestilah telah dikenalpasti tapak pembinaannya, kajian kemungkinan dan rekabentuk yang sepatutnya telah diselesaikan lebih awal  sebelum permohonan untuk melaksanakan projek dipohon.





5.     KEDUDUKAN KEWANGAN NEGERI

        Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

11.        Dari segi prestasi kewangan Negeri untuk tahun 2010, Hasil sebanyak RM526.19 juta telah berjaya dikutip berbanding sasaran sebanyak RM479.39 juta.  Hasil Negeri pada tahun 2010 juga telah meningkat sebanyak RM34.78 juta berbanding sebanyak RM492.14 juta pada tahun 2009.  Sukacita dimaklumkan di sini bahawa, hasil Kerajaan Negeri telah meningkat pada kadar purata 4 peratus semenjak 5 tahun kebelakangan ini.

12.        Bagi tahun 2011 sehingga suku tahun ketiga Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip RM455.60 juta berbanding sasaran RM532.18 juta iaitu 85% daripada sasaran. Saya yakin sasaran sebanyak RM532.18 juta akan dapat dicapai menjelang akhir tahun ini.

13.        Kerajaan Negeri telah membelanjakan peruntukan yang besar pada tahun 2010. Sebanyak RM568.03 juta telah dibelanjakan berbanding RM529.42 juta pada tahun 2009, iaitu peningkatan sebanyak  RM38.61 juta. Perbelanjaan paling ketara adalah merupakan belanja Emolumen, Perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan dan Pemberian serta Kenaan Bayaran Tetap. Kenaikan Belanja Mengurus yang meningkat ini disebabkan pengumuman Kerajaan Persekutuan untuk membayar imbuhan kepada pegawai dan kakitangan awam setengah bulan gaji atau bayaran minimum sebanyak RM500.00.

14.        Perbelanjaan Mengurus untuk membayar Emolumen naik setiap tahun mengikut skim gaji perkhidmatan awam.  Jumlah ini akan lebih meningkat apabila Kerajaan Persekutuan secara berkala mengumumkan kenaikan gaji dan pembayaran bonus dan perlaksanaannya diikuti sama Kerajaan Negeri. Itulah sebabnya Perbelanjaan Mengurus sentiasa meningkat dari tahun ke setahun. Semua Ahli Dewan dan rakyat di Negeri Pahang haruslah memahami hakikat ini.

15.        Perbelanjaan Pembangunan pada tahun 2010 adalah sebanyak RM259.65 juta menggunakan sumber langsung Kerajaan Negeri sebanyak RM195.95 juta dan RM63.71 juta sumber pinjaman dari Kerajaan Persekutuan. Perbelanjaan Pembangunan tahun 2010 adalah berkurangan sebanyak RM53.02 juta berbanding tahun 2009 sebanyak RM312.67 juta. Pengurangan berlaku kerana tahun 2010 adalah tahun akhir bagi RMK-9 dan kebanyakan projek pembangunan yang diberi peruntukan adalah untuk menyiapkan program yang dirancang.


6.     PERUNTUKAN BAJET 2012

        Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

16.        Bajet 2012 akan menyediakan peruntukan sebanyak RM632.997 juta untuk melaksanakan semua program dan Rancangan Pembangunan Kerajaan Negeri. Peruntukan ini adalah terdiri daripada RM508.83 juta anggaran Perbelanjaan Mengurus; RM69.74 juta Perbelanjaan Pembangunan dari Sumber Negeri; dan RM54.43 juta dari pinjaman Kerajaan Persekutuan. Ini bermakna Kerajaan Negeri sebagaimana biasa tidak meminjam dari mana-mana pihak untuk membiayai Perbelanjaan Mengurus tetapi Kerajaan Negeri meminjam bagi membiayai Perbelanjaan Pembangunan.

17.        Dari jumlah RM508.83 juta yang diperuntukkan untuk Perbelanjaan Mengurus itu, sebanyak RM395.25 juta adalah Batas Perbelanjaan; RM17.80 juta untuk Dasar Baru; RM19.09 juta untuk Caruman Pembangunan  dan RM76.58 juta untuk perbelanjaan One-Off untuk Pembangunan Luar Bandar, menyelenggara infrastruktur seperti jalan raya, membaiki Sekolah-Sekolah Menengah Ugama Negeri serta menyenggara pejabat-pejabat Kerajaan dan rumah-rumah Kerajaan Negeri.


18.        Kutipan Hasil pada tahun 2012, adalah dianggarkan berjumlah RM509.93 juta.  Anggaran kutipan Hasil Negeri adalah diperolehi daripada kutipan Hasil Tanah dan Galian, RM195.05 juta; Hasil Perhutanan, RM84.56 juta; dan Hasil Bekalan Air, RM20.50 juta (untuk Januari 2012 sahaja).  Hasil Bekalan Air akan berkurangan jika dibandingkan kutipan hasil tahun 2011 disebabkan Jabatan Bekalan Air Pahang (JBA) akan mula dikorporatkan mulai Februari 2012. Secara puratanya, bekalan air bersih melalui JBA menyumbangkan hasil melalui air telah dirawat berjumlah RM113.57 juta pada tahun 2011. Walaupun Hasil Negeri berkurangan disebabkan daripada pengkorporatan JBA ini, secara keseluruhannya Kerajaan Negeri dapat mengurangkan Perbelanjaan Mengurus dan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM 82.76 juta berdasarkan Anggaran Bajet Tahun 2011.  Geran Persekutuan RM88.26 juta dan hasil-hasil lain sebanyak RM121.56 juta.

19.        Untuk tujuan pengkorporatan JBA ini, syarikat pengganti iaitu Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) akan mengambil alih semua urusan mengendalikan air bersih di Negeri Pahang.  Sebagai permulaan, Belanja Mengurus akan disediakan untuk bulan Januari 2012 sebanyak RM3.29 juta. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri akan menyediakan Geran Pelancaran sebanyak RM50 juta setahun untuk jangka masa 3 tahun mulai 2012 hingga 2014.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

20.        Pinjaman kewangan untuk melaksanakan projek bekalan air di Negeri Pahang akan dipindahkan kepada syarikat pengganti iaitu PAIP dan sudah pasti menambahkan beban kewangan kepada PAIP. Saya berharap Kerajaan Persekutuan dapat menimbangkan supaya semua pinjaman terkumpul sebanyak RM1.356 billion dihapuskira atau penangguhan bayaran sewa oleh syarikat ini bagi membolehkan PAIP bergerak dengan lebih selesa. Selama inipun, Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan Bekalan Air adalah untuk faedah rakyat.  Ianya wajar dikongsi bersama oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.  Perbelanjaan ini tidak pernah disalahguna oleh Kerajaan Negeri untuk tujuan lain jauh sekali untuk tujuan membayar emolumen kakitangan Awam Negeri Pahang.  Dalam masa yang sama pengambilan alih urusan oleh PAIP ini tidak akan membebankan rakyat kerana perjalanan syarikat akan sentiasa diawasi oleh Badan Kawal Selia Air yang telah diwujudkan di Pentadbiran Negeri.

21.        Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada         Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana telah memperuntukkan sebanyak RM400 juta bagi kerja-kerja menaiktaraf infrastruktur bekalan air di rancangan Felda yang akan dijalankan secara berperingkat-peringkat di Negeri Pahang dan 3 negeri lain. Keprihatinan  Kerajaan Persekutuan terhadap masalah masyarakat di luar bandar ini akan menjadikan masyarakat luar bandar dapat merasai manfaat yang sama dengan masyarakat di bandar.

22.        Kerajaan Negeri komited untuk melaksanakan perbelanjaan yang lebih mampan di samping memastikan aktiviti ekonomi terus berkembang. Hasil Negeri dijangka tidak banyak berubah dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya kerana tidak banyak sumber  yang boleh menyumbang kepada pertambahan Hasil. Kerajaan Negeri tidak bercadang menaikkan cukai tanah dan lain-lain cukai yang membebankan rakyat. Kerajaan Negeri akan terus menguruskan perbelanjaan dengan matlamat mengutamakan kepentingan rakyat. Oleh itu, perbelanjaan Kerajaan akan diurus secara berhemat dengan menekankan impak positif bagi setiap perancangan kewangan.

7.     STRATEGI BAJET 2012

23.        Berdasarkan kepada senario ini, strategi Bajet tahun 2012 adalah ditumpukan untuk mencapai hasrat berikut :-

a)           Memantapkan pengurusan kewangan sektor awam dengan melaksanakan pengurusan fiskal(fiscal) yang berhemat dan pragmatik

b)          Mengurangkan pembaziran sumber

c)           Melaksanakan projek-projek bagi menjana pertumbuhan yang lebih mampan

d)          Memberi penekanan kepada program yang dapat meningkatkan Hasil Kerajaan Negeri, dan;

e)           Meneruskan agenda pembangunan sosial untuk kesejahteraan rakyat dan pemuliharaan alam sekitar.

8.     SUASANA BAJET 2012

        Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

24.        Kerajaan Negeri berhasrat mencapai matlamat Bajet 2012 bagi Negeri Pahang ke arah mencapai Bajet Berimbang (Balanced Budget).  Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Negeri akan mengurus sumber Negeri secara bijaksana di samping memperkemaskan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan-peraturan, di samping penjimatan melalui kawalan perbelanjaan yang ketat tetapi tidak mengorbankan mutu perkhidmatan kerajaan. Ianya selaras dengan konsep “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.  Sehubungan dengan itu, perbelanjaan yang bersifat mewah dan kurang memberi impak positif kepada rakyat tidak akan diberi keutamaan dalam rancangan Bajet Tahun 2012. 

25.        Bajet Negeri Pahang pada tahun 2012 ini telah mencapai Bajet Berimbang (Balanced Budget);  Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM489.74 juta dan hasil dianggarkan berjumlah RM509.93 juta.  Ini bererti terdapat lebihan sebanyak RM1.1 juta jika dibandingkan dengan Bajet Tahun 2011 yang mencatatkan Bajet Defisit sebanyak RM68.25 juta.

9.     PENDEKATAN BAJET 2012

        Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

26.        Matlamat ke arah Negeri Maju menjelang tahun 2020 semakin  hampir.  Agenda memajukan Negeri ke arah  matlamat ini perlu diadun agar dapat dihayati oleh semua golongan masyarakat di Negeri ini. Pendekatan yang lebih mesra rakyat dalam semua aspek pembangunan program, menjadi asas Pentadbiran Negeri.  Rakyat harus menerima secara langsung semua pembangunan yang dilaksanakan. Oleh itu, dasar Kerajaan mendahulukan kepentingan rakyat perlu diatur.  Pendekatan Bajet 2012 akan memberi tumpuan kepada 4 perkara utama iaitu:

·  Pertama       :  Mengutamakan  kesejahteraan rakyat

·  Kedua           :  Meningkatkan daya saing negeri

·  Ketiga          :  Memperkasa pembangunan modal insan,    
   dan

·  Keempat       :  Memperkukuhkan penyampaian             
                            perkhidmatan  awam


10.   MENGUKUHKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

        Membantu Golongan Miskin

27.        Kerajaan bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat termasuk menjamin kualiti hidup. Bermula tahun 2010, Kerajaan telah mensasarkan pembasmian miskin tegar dapat dicapai di seluruh negara.  Sejak itu, tanpa jemu usaha untuk memerangi kemiskinan terus dipertingkatkan.  Pelbagai usaha  telah diteruskan oleh Kerajaan ke arah pengurangan kadar kemiskinan dan peningkatan taraf hidup golongan miskin melalui pemberian bantuan dalam pelbagai bentuk khususnya bantuan yang boleh meningkatkan kualiti hidup mereka melalui bantuan sosio kebajikan dan bantuan membaiki rumah. 

28.        Peranan kementerian/jabatan/agensi seperti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (KPWKM), Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) serta jabatan/agensi di Peringkat Negeri diteruskan untuk mengurangkan kadar kemiskinan sedia ada.  Justeru itu pelbagai program dan projek di bawah Kementerian/Jabatan/Agensi terus dilaksanakan dari masa ke semasa.

29.        Kerajaan terus komited bagi mengurangkan kemiskinan dan menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi di dalam Negara. Oleh yang demikian, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara bagi Isi Rumah Berpendapatan Rendah, Kerajaan telah mensasarkan untuk mensifarkan isi rumah miskin tegar yang telah didaftarkan di dalam Sistem  e-Kasih.  Sehingga 31 Disember 2010, miskin tegar sifar telah berjaya dicapai di seluruh Negara. Sungguhpun pencapaian tersebut telah mencapai paras objektif yang ditetapkan, ia tidak bermakna bahawa kemiskinan tegar telah dibasmi sepenuhnya kerana kemiskinan adalah bersifat relatif dan sentiasa berubah. Justeru itu, atas faktor tersebut juga, usaha yang berterusan melalui pemantauan dan pelaksanaan pelbagai strategi yang komprehensif masih lagi dilaksanakan sehingga hari ini.

Meningkatkan Pemilikan Rumah

30.        Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha penambahbaikan kepada program perumahan bagi meningkatkan mampu milik rumah oleh rakyat Pahang.  Bagi projek perumahan sedia ada, Kerajaan Negeri akan mengusahakan untuk mendapatkan hak milik 9 projek Perumahan Awam Kos Rendah di Negeri Pahang. Hak Milik Strata juga akan dikeluarkan kepada projek-projek Perumahan Awam Rendah jenis pangsa. Dengan adanya hak milik ini nanti, rumah-rumah ini akan dapat dijual terus kepada orang ramai dan akan dapat memberi impak kepada penurunan tunggakan hasil sewaan rumah kos rendah yang pada masa ini telah mencecah lebih  RM10 juta.

31.        Bajet Kerajaan Persekutuan Tahun 2012, Kerajaan telah mengumumkan 6 inisiatif utama iaitu kelayakan meminjam di bawah Skim Rumah Pertamaku akan ditingkatkan daripada RM220 ribu kepada RM400 ribu bagi pembiayaan bersama suami isteri, manakala Skim Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PRIMA) akan diperluaskan ke kawasan luar Lembah Kelang.  Kerajaan Persekutuan juga bercadang  untuk membina 15,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh Negara. Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri akan mengusahakan untuk mendapatkan Projek Perumahan Rakyat bagi tahun 2012 kelak.  Setakat ini kelulusan hanya diperolehi bagi melaksanakan PPR di Kampung Tekek, Pulau Tioman sahaja.

32.        Kerajaan Negeri juga  berterima kasih kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang telah banyak membantu Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah perumahan di Negeri Pahang. Sebanyak 1,099 permohonan masih diproses oleh pihak SPNB.  Bagi tahun 2012  nanti, sebanyak 800 unit Rumah Mesra Rakyat akan dibina di Negeri Pahang. Dalam bajet Kerajaan Persekutuan telah mengisytiharkan bahawa Kerajaan akan memberikan subsidi sebanyak RM20 ribu seunit Rumah Mesra Rakyat (RMR).  Oleh itu, pembinaan 800 unit RMR ini akan melibatkan subsidi Kerajaan sebanyak RM16 juta.

Menambahbaik Jaringan Perhubungan

33.        Jaringan perhubungan adalah amat penting di dalam membangunkan masyarakat terutama masyarakat luar bandar.  Dalam tempoh dua tahun pertama (Rolling Plan 1 – 2011-2012) Kerajaan Negeri telah diluluskan peruntukan sebanyak RM376.43 juta oleh Kerajaan Persekutuan  untuk membina jalan-jalan utama di Negeri Pahang. Untuk pembangunan jalan-jalan luar bandar pula, peruntukan sebanyak RM312.49 juta telah diberikan bertujuan untuk menaik taraf jalan, membina dan melebarkan jalan.  Kerajaan juga telah merancang untuk memajukan Koridor Ekonomi Pantai Timur.  Kerajaan Negeri amat berterima kasih kerana Projek Central Spine Road (CSR) telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2012 akan datang. Saya berharap Kerajaan Persekutuan terus memberi pertimbangan dan meluluskan projek menaik taraf Jalan Persekutuan 3 daripada Persimpangan Jerangau – Jabor ke Persimpangan Bertingkat Sg. Ular Kuantan supaya jaringan perhubungan darat Negeri Pahang lebih kemas dan teratur.

Memantapkan Institusi Keluarga

34.        Pemantapan Institusi keluarga adalah penentu utama kepada kemantapan sosial sesebuah negara. Oleh itu, Kerajaan telah melaksanakan beberapa program sebagai usaha pengukuhan dan pengupayaan institusi keluarga ke arah melahirkan masyarakat  mantap dan seimbang.

35.        Penekanan diberi kepada membangunkan keluarga di samping menumpukan kepada keluarga yang bermasalah.  Program pemantapan keluarga dengan penekanan kepada nilai-nilai murni disemai bagi pasangan muda supaya generasi akan datang lebih terarah dan mengikut acuan sebenar.   Antara program yang telah dan akan dilaksanakan adalah menerusi Program Sayang Disayang, Modul Ibu Hamil, Modul Kemahiran Keibubapaan dan Modul Keluarga Bermasalah.

Meningkatkan Kesihatan Rakyat

36.        Masyarakat yang sihat merupakan aset dan penyumbang kepada Pembangunan Negara yang dinamik lagi produktif.  Oleh itu, kualiti penjagaan kesihatan akan terus dipertingkatkan dan diperkukuhkan selaras dengan kemajuan Negara. Sejajar dengan kemajuan Negara perkhidmatan kepakaran di hospital terus dipertingkatkan. Negeri Pahang telah mempunyai tiga buah hospital yang memberikan kemudahan perkhidmatan pakar sepenuh masa iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dan Hospital Lipis. Hospital Tengku Ampuan Afzan sebagai Hospital Negeri mempunyai 722 buah katil yang mempunyai 16 disiplin kepakaran dan 3 subkepakaran. Antara subkepakaran yang baru diperkenalkan di hospital ini ialah Kardiologi Rheumatologi dan Urologi.

37.        Untuk perkhidmatan kardiotoraksik di HTAA, ia telah di mulakan pada bulan Ogos 2009 dengan menyediakan kemudahan fizikal. Pusat Kardiotoraksik ini dijangka akan dibuka sepenuhnya pada bulan Mac tahun 2012 setelah mendapat bekalan peralatan yang lengkap. Pusat urologi dijangka akan menjadi pusat rawatan kepakaran untuk kawasan Pantai Timur.   Bagi dispilin subkepakaran yang tidak dapat disediakan oleh hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia di Negeri ini, perkhidmatannya disediakan dengan kerjasama agensi luar seperti UIA-Neurosurgeri, HKL-Onkologi dan HKT- Psychiatry dan Neurologi.  Dengan adanya unit-unit subkepakaran ini berbagai masalah kesihatan dan perubatan serta prosedur boleh dirawat atau dilakukan  di Negeri Pahang tanpa perlu rujukan ke luar negeri. Bagi hospital lain yang tidak mempunyai pakar, perkhidmatan diberikan melalui pakar pelawat dari Hospital  HTAA, HoSHAS dan Hospital Lipis. Usaha juga telah dibuat untuk menambah bilangan disiplin dari 6 kepada 10 disiplin bagi melengkapkan Hospital Lipis sebagai Hospital Pakar Minor. Dua buah hospital lagi yang akan terlibat dengan naik taraf ke hospital pakar ialah Hospital Bentong dan Hospital Pekan.

38.        Perkhidmatan kesihatan awam terus menjadi tumpuan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Negeri Pahang.  Perkhidmatan kesihatan yang disediakan merangkumi perkhidmatan pencegahan dan kawalan penyakit, penjagaan kesihatan primer, perawatan penyakit dan perkhidmatan rehabilitatif. Unit Kesihatan Keluarga Jabatan Kesihatan Negeri telah memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan wanita, ibu-ibu mengandung, remaja, pelajar sekolah, bayi dan kanak-kanak termasuk kumpulan terpinggir seperti Orang Asli, pendatang asing dan juga masyarakat Melayu yang miskin.

39.        Perkhidmatan untuk masyarakat seperti Klinik 1 Malaysia khususnya untuk memenuhi keperluan penduduk kawasan bandar yang berkepadatan tinggi telah ditubuhkan. Negeri Pahang  telah mempunyai 5 buah Klinik 1 Malaysia (K1M) iaitu K1M Bandar Temerloh; K1M Kg. Padang, Kuantan;  dan K1M Kempadang, Kuantan yang telah beroperasi sejak Januari 2010 dan tambahan 2 buah lagi K1M yang telah mula beroperasi sejak Januari 2011 iaitu K1M Taman Rimba, Mentakab dan K1M Taman Anggerik, Bentong.

40.        Bagi memenuhi keperluan penduduk luar bandar, estet dan kawasan Orang Asli, Kerajaan telah memperkenalkan perkhidmatan Klinik Bergerak 1 Malaysia yang menggunakan bas yang telah diubahsuai menjadi klinik bergerak. Bas ini dilengkapkan dengan kemudahan pemeriksaan dan rawatan pesakit serta dianggotai oleh pasukan perubatan yang diketuai oleh seorang pegawai perubatan.  Negeri Pahang  menerima 2 buah klinik bergerak ini yang telah tiba dalam bulan April 2011.  Perkhidmatan klinik bergerak 1 Malaysia ini akan ditempatkan di Daerah Lipis serta Daerah Kuantan (kawasan liputan merangkumi Daerah Pekan, Kuantan dan Maran).




Merancakkan Pembangunan Luar Bandar

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

41.        Menyedari pentingnya peranan masyarakat luar bandar, perhatian kepada program luar bandar terutamanya menyediakan ruang-ruang niaga dan pembinaan pusat-pusat pertumbuhan baru (PPD) menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.  5 buah PPD telah dikenalpasti akan dibangunkan iaitu Sg. Temau Lipis; Tebing Tinggi Jerantut; Kg. Parit Raja Rompin; Simpang Sepayang, Rompin dan Kg. Tok, Mengkarak, Bera.  Program ini adalah untuk melahirkan Masyarakat Perdagangan Perindustrian Bumiputera (MPPB). Program membudayakan keusahawanan kepada golongan belia luar bandar juga giat dilaksanakan dan program ini bermula di peringkat persekolahan sehingga ke peringkat belia.  Golongan ini akan diberi Latihan Keusahawanan serta premis perniagaan yang boleh disewa dari PKNP yang membangunkan premis tersebut.

Meningkatkan Pembangunan Belia & Sukan

42.        Kerajaan akan terus mengadakan Program Pembangunan Belia yang berteraskan kepimpinan dan nilai-nilai murni dengan menitikberatkan latihan serta kesedaran yang mampu melahirkan jatidiri belia dan remaja dengan ciri-ciri berasaskan nilai-nilai keagamaan; nilai akhlak dan moral yang baik. Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah Program Jati Diri Kesukarelaan Nasional (PJKN), Anugerah Belia Peringkat Negeri, Program Pusat Kecemerlangan, Kursus Ibadah Korban dan Imam Muda Bestari.

43.        Program latihan kemahiran dan keusahawanan perlu dipertingkatkan dan diperluaskan supaya dapat melahirkan belia-belia yang berbakat  sebagai usahawan.  Kerajaan akan terus mendorong dan mengalakkan masyarakat belia menceburi bidang kemahiran dan keusahawanan sebagai pilihan utama terutama di kalangan belia menganggur dengan menyediakan kemudahan latihan kemahiran dan mewujudkan peluang perniagaan.  Antara  program yang akan terus dilaksanakan termasuklah Skim Tabung Ekonomi Belia, Program Belia Bestari, Program Perantis, Program Latihan Kemahiran Tidak Formal, Kursus Kemahiran dan Kursus Keusahawanan.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

44.        Pada tahun 2012 ini, Negeri Pahang sekali lagi akan menjadi tumpuan di peringkat Nasional apabila menjadi tuan rumah kepada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kali yang ke-15.  Penganjuran ini adalah kali yang kedua bagi negeri ini. Bersesuaian dengan cogankata “Sukan Menjana Perpaduan” yang menjadi motto kepada Kejohanan SUKMA Ke-15 kali ini, penglibatan semua pihak adalah penting di dalam usaha untuk menaikkan imej sukan di Negeri Pahang, dan seterus akan memberikan impak yang besar ke arah mewujudkan perpaduan kaum merentasi kepercayaan ugama dan keturunan.

45.        Usaha perlu dilipat gandakan di dalam membuat persediaan yang rapi dan terancang termasuk mempersiapkan infrastruktur dan juga persediaan Kontinjen Negeri Pahang  dalam menghadapi Sukan Malaysia Ke-15.  Kerajaan Negeri akan memastikan bahawa acara-acara dapat dijalankan dengan lancar dan pencapaian yang cemerlang akan digapai oleh atlet-atlet Negeri ini sesuai dengan motto “Sukan Cemerlang Pahang Gemilang”.  Peruntukan untuk kerja-kerja mempersiapkan infrastruktur serta menaiktaraf kemudahan sukan telah diluluskan sebanyak RM159.0 juta oleh Kerajaan Persekutuan secara pinjaman.  Di samping itu, sebanyak RM9.0 juta juga lagi diluluskan bagi Perbelanjaan Mengurus SUKMA 2012. Kerajaan Negeri masih kekurangan sebanyak RM69 juta dan akan dipohon untuk ditampung oleh Kerajaan Persekutuan melalui pinjaman.




11.   MENINGKATKAN DAYA SAING NEGERI

        Meningkatkan Pembangunan Industri

46.        Bagi membolehkan Negeri ini terus relevan dalam pembangunan dan industri, pelaburan baru perlu dipertingkatkan. Tahun 2010 telah menyaksikan sebanyak RM1.04 bilion pelaburan perkilangan telah diluluskan di Negeri Pahang, 96% atau RM1 bilion pelaburan ini terdiri daripada pelaburan asing. Bagi tempoh antara Januari - Julai 2011, sebanyak 17 projek perkilangan telah diluluskan dengan nilai pelaburan sebanyak RM988 juta dan pelaburan asing adalah sebanyak RM626 juta.  Adalah dijangkakan, angka keseluruhan tahun 2011 akan mengatasi angka tahun sebelumnya.  Untuk menjayakan pembangunan ECER, Negeri Pahang mensasarkan kemasukan pelaburan dari dalam dan luar negeri sebanyak RM1.5 bilion - RM2 bilion setahun.

47.        Kawasan Perindustrian Gebeng terus muncul sebagai kawasan perindustrian utama di Negeri Pahang dan kini telah berjaya menempatkan sebanyak 123 projek perkilangan dengan nilai pelaburan RM16.23 bilion. Sebagai hub industri kimia dan petrokimia, Kawasan Perindustrian Gebeng dijangka akan terus menarik aktiviti ‘upstream’ dan ‘downstream’ yang berasaskan Oil & Gas. Pelaksanaan Program Pembangunan Bandar Pelabuhan Kuantan yang dirancang oleh pihak ECERDC, akan melibatkan pembesaran Pelabuhan Kuantan terutamanya menaiktaraf kemudahan sedia ada seperti ‘berth facilities’, ‘harbour basin’, ‘storage terminal’ dan sebagainya.

48.        Negeri Pahang juga sedang membangunkan hub automotif di Kawasan Perindustrian Peramu dengan pemain utamanya terdiri daripada Kumpulan DRB HICOM yang telah diberikan hak untuk memasang kenderaan berbagai jenama dari berbagai negara seperti Mitsubishi, Isuzu dan juga kenderaan mewah seperti Mercedez Benz. Salah sebuah pengeluar kenderaan utama dunia iaitu (Volkswagen/Audi) dari Jerman juga telah memilih Peramu sebagai pusat pemasangan kenderaan bagi pasaran Asia.

49.        Negeri Pahang juga sedang membangunkan kawasan perindustrian baru untuk dijadikan sebagai ‘supply base’ bagi industri berasaskan ‘Oil and Gas’ dan ‘Maritime Services’ yang dikenali sebagai Tg. Agas Oil & Gas And Maritime Industrial Park seluas 4,000 ekar. Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta untuk tempoh RMK-10 bagi tujuan pembangunan infrastruktur. Usaha-usaha sedang dijalankan untuk menarik pelabur bagi penempatan operasi aktiviti fabrikasi, pembaikan kapal-kapal dan pembinaan logistik ‘Oil and Gas’.

50.        Gambang Technology Park merupakan  satu lagi kawasan perindustrian baru yang sedang dibangunkan bagi pembangunan halal hub serta industri berasaskan ‘knowledge based’.  Pembinaan sebuah Kompleks Makanan Halal Pahang telah siap dibina dan dijangka mula beroperasi pada tahun 2012, diikuti dengan Taman Industri Produk Halal yang akan dibangunkan oleh ECERDC. Pembangunan ini juga merangkumi Gambang CyberTECH City (331.60 ekar), Gambang Science Park (251.51 ekar) yang berasaskan bioteknologi dan juga pembinaan sebuah Gelatin Halal Nasional (150.00 ekar).

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

LYNAS

51.        Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyentuh tentang pelaburan Syarikat Lynas yang telah dijadikan isu oleh pihak pembangkang dan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk membenci Kerajaan. Syarikat Lynas akan memproses apa yang disebut sebagai Tanah Jarang atau Tanah Nadir atau Rare Earth. Ianya telah dimomok-momokkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang mereka sendiri saja tahu motifnya dengan mencucuk rakyat, menghasut rakyat membenci Kerajaan. Lynas telah dijadikan satu isu sedangkan ianya bukan isu bahkan ia adalah serupa dengan lain-lain pelaburan yang ada di Gebeng.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

52.        Tanah Jarang ini adalah satu bahan yang sangat bernilai dan sangat berharga. Aplikasinya sangat luas. Ianya digunakan dalam wind turbine, hybrid car, electronic appliances, energy saving bulb. Kesemuanya ini menjurus ke arah green technology.  Selain dari itu rare earth ini boleh digunakan juga untuk pembuatan enjin jet kapalterbang, selain dijadikan peralatan persenjataan termasuk untuk membuat missile head ataupun kepala peluru berpandu.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

53.        Sejak dahulu lagi ada satu bahan atau barangan yang kalau dikuasai oleh sesebuah masyarakat, sesebuah negara akan menjadikan masyarakat dan negara itu berketrampilan dan boleh mengawal, menguasai negara-negara yang lain; emas sebagai contoh, kemudian rempah ratus, bijih timah, getah, kelapa sawit dan pada zaman yang moden ini petroleum. Orang akan berperang disebabkan oleh petroleum. Barangan yang saya sebutkan tadi adalah yang sangat berharga dan bernilai. Sekarang ini the ‘in thing’ dalam Bahasa Inggeris ialah rare earth.

54.        Deng Xiao Ping pernah menyatakan, “Arab has oil, China has rare earth”. Pada tahun 1948 rare earth ini banyak diusahakan di India dan di Brazil. Tahun 1950-an di South Afrika; 60-an, 80-an di Mountain Pass oleh Syarikat Molycorp di California. Pada masa sekarang China menjadi pengeluar utama terbesar di dunia dengan mengeluarkan 97% dari keperluan rare earth  seluruh dunia. Negara China mengusahakan rare earth ini di Inner Monggolia. Reserve yang ada di Negara China sekarang ini adalah 37% dari reserve untuk keseluruhan dunia. Pada tahun 2010 sebuah badan USGS telah mengeluarkan dapatan (finding) iaitu Amerika Syarikat mempunyai 13 milion metrik tan reserve Tanah Jarang dan sejak tahun 2009 permintaan terhadap Tanah Jarang melebihi pengeluaran sebanyak 40,000 tan setiap tahun.

55.        Saya patut sebutkan juga di sini, di Negara Jepun terdapat satu kawasan seluas lebih kurang 2.3 km lebar tapi boleh mengeluarkan rare earth yang cukup untuk membekal keperluan dunia untuk setahun. Ini bermakna rare earth ini adalah satu bahan yang perlu. Sayang sedikit ianya telah dikelirukan dengan  Syarikat Asia Rare Earth iaitu salah satu subsidiari Mitsubishi Chemical, sebuah Syarikat Jepun, di Bukit Merah.  Kononnya rare earth di situ telah menyebabkan ramai penduduk di sekitar menghidap penyakit kanser. Ada kanak-kanak yang dilahirkan cacat, ramai yang menghidap penyakit kanser.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

56.        Untuk makluman Dewan yang mulia ini, ada perbezaan operasi antara Syarikat Lynas dengan Syarikat Asia Rare Earth iaitu anak syarikat Mitsubishi Chemical. Walaupun namanya Asia Rare Earth tetapi syarikat ini bukan memproses rare earth. Ia memproses tin tailing ataupun tahi bijih ataupun amang bijih. Tin tailing ini, Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, kadar radio aktif adalah 37 kali ganda dari kadar standard biasa dan bahan sisanya juga 60 kali ganda lebih tinggi dari yang mungkin dijadualkan akan dikeluar oleh Syarikat Lynas ini. Bahannya berbeza: Lynas, rare earth; Asia Rare Earth yang di Bukit Merah itu adalah amang bijih. Walaupun dengan izin end product-nya sama tetapi raw material-nya adalah berbeza.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

57.        Dalam satu perjumpaan baru-baru ini, pihak pembangkang telah membawa seorang anak cacat yang kononnya cacat disebabkan oleh ibunya bekerja di Syarikat Asia Rare Earth yang memproses tahi bijih ataupun amang bijih. Sebenarnya wanita tersebut bekerja semasa kilang berkenaan sedang dibina kerana kilang berkenaan tidak membenarkan wanita mengandung bekerja di kilang yang berkenaan dan anak itu cacat adalah seperti kanak-kanak cacat yang lain. Ramai kanak-kanak cacat, ramai orang menderita kerana kanser tapi tempat mereka tidak ada pulak Syarikat Lynas. Kita harap perkara ini dapat kita fahami supaya secara rasionalnya nanti kita dapat membezakan antara fitnah dengan kenyataan.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

58.        Saya perlu sebutkan satu lagi, syarikat yang di Bukit Merah ini tutup kerana rugi dan ada penduduk yang membawa tindakan mahkamah menyaman syarikat berkenaan. Mereka menang di Mahkamah Tinggi tetapi di Mahkamah Rayuan mereka kalah, syarikat ini menang tetapi ianya tidak dihebahkan.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

59.        Syarikat Lynas hanya boleh beroperasi dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Kita ada banyak badan-badan selia. Di peringkat antarabangsa kita ada IAEA; di Malaysia kita ada AELB, Nuklear Malaysia, selain daripada DOE (Jabatan Alam Sekitar).  Berhubung dengan pelaburan Syarikat Lynas ini, dia akan melalui empat tahap. Tahap pertama ialah mendapatkan Lesen Pembinaan; telahpun didapati dikeluarkan oleh AELB. Tahap yang kedua ialah Pre Operation Licence. Ini untuk tempoh  dua tahun, akan juga dikeluarkan oleh AELB. Kalau dalam tempoh dua tahun itu terdapat syarikat melanggar syarat ataupun bahan keluarannya memudaratkan rakyat, AELB akan menarik lesen dan syarikat tersebut tidak akan dibenarkan beroperasi. Yang ketiga ialah Full Operation Licence, juga dikeluarkan oleh AELB dan yang keempat Decommissioning Licence iaitu untuk memulihkan tapak sebagaimana sedia.  Ini juga ditentukan oleh pihak AELB.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

60.        Kita telahpun diberi fahaman berdasarkan kepada bahan-bahan bacaan dan juga berdasarkan kepada keterangan pakar-pakar termasuk pakar-pakar nuklear yang terdiri daripada YB. Dr. Che Rosli, Ahli Parlimen PAS Hulu Langat dan juga Proffesor Tarmizi dari UTM Skudai, kedua-duanya pakar nuklear yang mengatakan bahawa bahan projek Lynas ini tidak memudaratkan sesiapa saja selagi ianya mematuhi peraturan sedia ada.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

61.        Lynas ini sebenarnya bukanlah satu isu. Ianya hanyalah  dimainkan oleh pihak-pihak tertentu atau pihak-pihak yang telah dikudakan oleh pihak-pihak tertentu. Prosesnya adalah  proses kimia yang biasa sama dengan kilang-kilang kimia yang lain yang beroperasi di Gebeng. Ianya perlu mematuhi undang-undang termasuk Akta Pelesenan Tenaga Atom dan juga Akta Kualiti Alam Sekitar. Patut saya sebutkan di sini bahawa telahpun dibuktikan Syarikat Lynas ini sepatutnya boleh beroperasi sebab ia tidak menjejaskan kepentingan rakyat. Saya petik apa yang dituliskan di sini. “An independent review was initiated by Malaysian Government and the United Nation and conducted by IAEA between 29th May and 3rd June 2011 to address concerns of radio active hazards”.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

62.    Saya minta ahli-ahli Dewan dengar. “The IAEA team was not able to identify any non compliance with international radiation safety standards”. Maknanya pakar antarabangsa telah memberikan penjelasan dan mendapati bahawa tidak ada sebab yang menunjukkan bahawa Syarikat Lynas tidak mematuhi apa-apa peraturan. Saya baca sedikit lagi, “The IAEA report has concluded in a report issued by The Nuclear Watchdog”, badan antarabangsa, pada 30 Jun 2011, macam saya sebutkan tadi, “that it did not find any instance of non-compliance with international radiation safety standards.



Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

63.         Kalaulah pakar-pakar tempatan kita tak dipercayai, badan-badan antarabangsa yang kita percayai juga tak mahu kita percayai juga, apakah ini? Ianya tak lain tak bukan ialah kerana politik.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

64.         Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan rakyat dan kesejahteraan rakyat. Kerajaan Negeri sedar bahawa kita dipilih oleh rakyat. Kita bergantung undi kepada rakyat. Tidak munasabah bagi kita untuk kita menyusahkan dan memudaratkan rakyat. Kalau rakyat semua mati, siapa nak undi kita? Logik. Kita hidup atas rakyat. Rakyat undi kita. Kita membuat sesuatu ini menyebabkan rakyat mati, siapa nak undi kita?. Kita tidak akan berkompromi tentang ini. Pihak Syarikat Lynas kena mematuhi satu persatu dan setakat ini ianya memang telah pun dipatuhi. Saya berasa sangat sedih, Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, kerana akibat daripada kontroversi ini, Syarikat Siemen dari Jerman yang datang berjumpa saya dan saya telah yakinkan mereka dan mereka akan buat pelaburan di sini, disebabkan kontroversi, ini telah melarikan diri dan sedang meninjau samada di Klang, Selangor ataupun di Kulim Hi-Tech, Kedah. Kedua-duanya negeri dikuasai oleh pembangkang. Adakah ini strategi pembangkang untuk menakut-nakutkan pelabur dari datang ke Pahang supaya pelabur-pelabur boleh pergi ke negeri yang dikuasai oleh pembangkang?

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

65.         Saya berharap perkara ini dapat difikirkan. Tapi saya teringat juga firman Allah Subhanahu Wata’ala, kalau salah betulkan saya sebab saya baca ayat ini semasa saya Darjah 1 tahun 1959 (ayat Al-Quran). Maknanya hati mereka, pendengaran mereka, pemandangan mereka telah dikunci. Cop! Cop mati stem! Tidak ada lagi untuk bertukar jadi baik. Bagi mereka azab yang sangat pedih. Bagi mereka,  pembangkang dan kuncu-kuncu mereka, saya bacakan ayat ini. Saya akan minta pihak Lynas  mengeluarkan pula senarai kontraktor-kontraktor yang terlibat dengan syarikat berkenaan. Dan jangan terkejut dalam senarai kontraktor ini, ada rakan kongsi kepada orang yang paling menentang Lynas. Termasuk jugalah rakan kongsi-rakan kongsi dengan wakil kita dari Semantan dan Beserah. Siapa dapat faedah?. Saya tidak dapat faedah, Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua tidak dapat faedah. Kerajaan tidak mendapat apa-apa faedah. Kita harapkan pelaburan ini dapat menjana kegiatan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan.


66.    Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, saya ingin menjelaskan di sini Syarikat Lynas datang untuk melabur di sini semata-mata atas dasar faktor perniagaan, faktor ekonomi. Contohnya caustic soda yang digunakan dalam proses perkilangan ini di Malaysia harganya cuma RM500.00 satu metrik tan tetapi di Australia RM1,500.00/ metrik tan. Yang kedua air; di Australia RM6.00/meter padu, di Malaysia         84 sen/meter padu. Elektrik; di Australia RM1.00/kWh , di Malaysia 23 sen /kWh. Maknanya dari segi kos pelaburan mereka lebih ekonomi untuk datang ke mari dari mereka memprosesnya di Australia sendiri.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

67.    Dunia sekarang global tidak ada lagi sempadan. Oleh sebab itu pelaburan boleh pergi ke mana-mana. Mereka akan pilih tempat yang mudah, kosnya yang rendah. Itu sebabnya Siemen lari dari Pahang disebabkan oleh isu kontroversi ini, dan cari tempat samada di Selangor atau pun di Kedah. Ini semata-mata fakta ekonomi.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

68.    Soalnya ialah ramai di antara kita tidak mahu faham. Itu tidak mengapa, tidak menjadi masalah. Kerajaan Negeri mengalu-alukan sebarang bantahan, sebarang tunjuk perasaaan, sebarang percubaan untuk mengubah persepsi pemahaman rakyat, silakan, tidak ada masalah. Tetapi InsyaAllah akan terbukti nanti kebenaran di sebelah siapa. Walaupun cukai dikecualikan dan ini memang dasar sejak kita Merdeka lagi yang kita sebutkan sebagai memberi tahap pioneer status oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak dan sekarang ini kita sebut tax holiday tidak diperlukan cukai. Nampak rugi kepada Kerajaan tapi ini adalah satu strategi untuk menarik pelabur. Kita dapat lihat faedah-faedah lain yang lebih nyata; faedah pekerjaan kepada orang-orang kita.

69.    Kalau Gebeng ini ditutup hampir 40,000 akan hilang pekerjaan. 40,000 pekerja kali empat orang dependent yang ditanggung, 160,000 orang kita akan tidak dapat mohon pekerjaan. Kita mesti melihat dari segi lebih luas. Ada sorong tarik, diberi tax holiday tapi kita dapat mengadakan peluang pekerjaan kepada orang kita.







Pertanian Sebagai Satu Industri

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

70.    Saya minta izin untuk teruskan, sektor pertanian terus menjadi tumpuan Kerajaan Negeri agar dapat berdaya saing sebagai industri bagi pengusaha-pengusaha dapat mewujudkan usahawantani. Dasar Pertanian Negara Keempat (DPN4) telah menggariskan tindakan yang perlu dilaksanakan  bagi mencapai sasaran sektor pertanian sebagai satu industri iaitu :

a.   Pelaksanaan program secara bersepadu dan fokus kepada people centric ;

b.   Pemindahan teknologi dilaksanakan secara pakej bagi meningkatkan daya saing dan kemampuan sektor mengikut bussiness model tanaman yang ditetapkan ;

c.   Memberi fokus kepada komoditi terpilih berasaskan pendekatan kluster iaitu untuk eksport segar ataupun untuk dieksport secara sejuk beku ; dan

d.   Jaminan keselamatan makanan dengan menyokong Amalan Pertanian Baik (ABP) untuk membolehkan barangan pertanian bersaing dalam perdagangan global.

71.    Kerajaan akan menggunakan segala sumber yang ada bagi mencapai matlamat menjadikan bidang pertanian sebagai satu bidang industri yang menjanjikan pulangan lumayan kepada pengusahanya.  Oleh itu, usahasama dengan pihak swasta secara berskala besar mengembangkan aktiviti pemprosesan dan kepelbagaian produk pertanian di kalangan usahawan kecil pertanian, memperkukuhkan jaringan pemasaran terus memperbaiki sistem penyampaian supaya dapat berdaya saing.

Ternakan Sebagai Industri

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

72.    Dasar Pertanian Negara Keempat telah memilih Pahang sebagai pusat pengeluaran ternakan untuk Negara. Dengan keluasan tanah & ternakan yang sedia ada, Negeri Pahang mempunyai potensi yang besar dalam pembangunan industri ternakan negara. Penilaian impak RMK-9 menunjukkan peningkatan pertambahan populasi ternakan, pengeluaran hasil dan nilai. Oleh itu industri ternakan telah mula dijalankan secara berskala komersial dan bernilai tinggi.

73.    Sebanyak 8 projek dicadang untuk dilaksanakan dalam tahun 2012 di bawah RMK-10.  4 darinya adalah merupakan projek baru yang tercetus dari penilaian impak yang telah dibuat ke atas program yang dilaksanakan sepanjang RMK-9. Ianya melibatkan projek pembangunan industri ruminan, industri unggas dan industri asas tani yang akan disokong dengan program pembangunan kesihatan veterinar, pembangunan pusat perkhidmatan veterinar, pembangunan pusat sumber genetik ternakan dan pembangunan industri makanan ternakan.  Pembangunan modal insan turut diberi tumpuan untuk melahirkan individu-individu berkemahiran tinggi yang akan menjadi pemacu kepada pembangunan industri ternakan.

Meningkatkan Pembangunan ICT

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

74.    Perkembangan  teknologi ICT pada masa ini begitu pesat dan ianya memenuhi keperluan dalam pelbagai aspek keperluan seharian sama ada untuk keperluan orang perseorangan atau organisasi.  Perkembangan teknologi ICT ini sebenarnya selari dengan keperluan organisasi dan orang perseorangan yang memerlukan perkhidmatan yang pantas, maklumat tepat mengikut masa dan lokasi tertentu. Kita perlu melihat perkhidmatan ICT sebagai bahagian hadapan agar dapat memberi maklumat yang terkini dan berkesan kepada semua rakyat yang memerlukan perkhidmatan. Penyediaan infrastruktur ICT yang lengkap dan cekap menyediakan keupayaan jentera kerajaan untuk bersaing di peringkat tempatan dan global.  Kesan seterusnya akan menimbulkan keyakinan pelabur dan pihak swasta sama ada dalam dan luar negara untuk membangunkan ekonomi di negeri ini khasnya dalam bidang ICT dan bidang-bidang lain secara keseluruhannya.

75.    Kerajaan Negeri Pahang telah merancang bagi memastikan perkembangan penggunaan teknologi ICT terus berkembang dan dapat dilaksanakan dengan terancang dan berstrategi.  Bagi tujuan tersebut, pelaksanaan Pelan Strategi Teknologi Maklumat akan diteruskan sehingga 2012 bersama-sama dengan pelan perancangan Rancangan Malaysia Ke-10     (RMK-10) yang telah dilancarkan pada tahun 2010 yang lalu.  Bagi meningkatkan penggunaan ICT dalam Perkhidmatan Kerajaan Negeri, tumpuan akan diberikan kepada aktiviti yang akan memberi impak yang tinggi khasnya kepada projek      e-Government yang ianya akan memastikan perkara berikut :

1.           Membangunkan sistem aplikasi daripada permulaan proses sesuatu kerja sehingga ke akhir proses kerja-kerja tersebut (end to end solution) secara online.

2.           Semua perkhidmatan yang telah mempunyai kemudahan ICT mestilah memaksimakan penggunaan kemudahan tersebut. Pemantauan perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kejayaannya.

3.           Bagi semua jabatan kerajaan perlulah melaksanakan pengurusan rekod secara digital keseluruhannya dan seterusnya perlaksanaan hendaklah secara online.

76.    Berpandukan kepada perkara tersebut, semua jabatan dan agensi perlu mewujudkan mekanisme atau jawatankuasa atau kumpulan kerja bagi memastikan semua aktiviti yang berkaitan dengan pembangunan ICT jabatan atau agensi berjalan dengan lancar.

Mempertingkatkan Kapasiti Pelabuhan Kuantan

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

77.    Pada tahun 2011, terdapat 19 buah dermaga di Pelabuhan Kuantan dengan kemampuan untuk mengendalikan kapal dengan benaman (draught) 11.2 meter. Ini adalah mencukupi bagi mengendalikan kargo-kargo komersial sedia ada.  Namun begitu, bagi mempertingkatkan lagi perkhidmatan di Pelabuhan Kuantan, usaha-usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan benaman kapal yang boleh berlabuh di Pelabuhan Kuantan kepada 16 meter. Berikutan itu usaha sedang dilaksanakan oleh pihak Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada tahun 2011 bagi menjayakan projek pembesaran dan menaik taraf Pelabuhan Kuantan.

78.    Cadangan pembesaran dan menaiktaraf Pelabuhan Kuantan ini akan melibatkan kerja-kerja pembinaan pemecah ombak, pengerukan kapital, penambah tanah serta pembinaan dermaga baru. Kerja-kerja pembesaran dan menaiktaraf Pelabuhan Kuantan ini juga akan dilaksanakan di dalam Tempoh RMK-10. Kajian-kajian bagi rekabentuk pemecah ombak bagi projek ini sedang dilaksanakan dan dijangka akan siap pada tahun 2012.  Projek ini dijangka akan siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2016.

79.    Usaha ini akan membolehkan Pelabuhan Kuantan mengendalikan kapal yang lebih besar yang mempunyai benaman 16 meter. Ia akan mampu menarik kapal-kapal seperti kapal kontena dengan muatan 13,500 TEUs bagi mengendalikan aktiviti trans-shipment di Pelabuhan Kuantan.  Selain dari itu, ia juga mampu mengendalikan kapal-kapal tangki besar seperti kapal tangki Gas Asli Cecair (LNG) serta kapal kargo pukal kering sehingga 150,000 DWT.




Mempergiatkan Industri Pelancongan

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

80.    Kerajaan Negeri sedar bahawa industri pelancongan mempunyai nilai tambah yang tinggi dan berupaya menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi Negeri.  Pada tahun 2012, kemasukan pelancong ke Negeri Pahang disasarkan seramai 10.5 juta orang berbanding 9.5 juta orang pada tahun 2010.  Pelaburan di dalam bidang pelancongan juga telah mencapai lebih RM6 billion. Industri pelancongan di Negeri Pahang juga telah mewujudkan lebih daripada 25,000 peluang pekerjaan sebagai pekerja hotel, pemandu pelancong, agen-agen pelancongan, industri kraftangan, pengusaha makanan dan sebagainya. Industri pelancongan juga telah memberi manfaat kepada penduduk Luar Bandar apabila program homestay diperkenalkan. Setakat ini sebanyak 251 buah rumah telah menjadi peserta program ini sehingga Julai 2011, seramai 20,818 pelancong telah menginap di program homestay ini.

81.    Pelaburan adalah meliputi pembangunan hotel-hotel, taman tema dan perhotelan.  Pada masa ini, terdapat 439 buah hotel dengan kemudahan penginapan pelbagai saiz dengan jumlah bilik sebanyak 24,689 keseluruhannya.  Industri pelancongan di Negeri Pahang tertumpu terhadap pelaksanaan pelan tindakan berasaskan Nature  and  Adventure. Berdasarkan kepada fokus ini sumber semulajadi yang ada di Negeri ini telah menjadi acara tahunan dan dimasukkan di dalam kalendar Acara Tahunan Negeri Pahang. 17 acara utama telah dilaksanakan di antaranya ialah Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser, Tioman Mega Dive dan Bill Fish Competition di Rompin.

82.    Pada tahun 2012, acara sukan berbasikal yang merupakan sebahagian daripada Sports Tourism akan dipromosikan sebagai tarikan baru pelancongan. Acara ini akan dijadikan acara mingguan di Bandar Kuantan bagi membolehkan orang ramai berbasikal bersama keluarga. 

Meningkatkan Sektor Perlombongan

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

83.    Sektor perlombongan menjadi salah satu penjana aktiviti ekonomi kepada Kerajaan Negeri.  Ianya berpotensi untuk dimajukan secara ekonomik terutamanya dalam meningkatkan aktiviti “value added” yang memerlukan pembangunan R&D. Menyedari sumber mineral sedia ada dapat mempertingkatkan daya pembangunan ekonomi, Kerajaan Negeri Pahang akan menguatkuasakan pemakaian Enakmen Mineral 2001 dan Peraturan-peraturan Mineral 2005.  Peraturan ini diwujudkan bagi memastikan urus tadbir dalam hal-hal perlombongan dapat dijalankan dengan efisyen dan seterusnya akan memaksimumkan hasil pendapatan Kerajaan Negeri.  Hasil royalti lombong yang telah dikutip sehingga Ogos 2011 adalah sebanyak RM26.0 juta, meningkat sebanyak 85% berbanding bagi tempoh yang sama pada tahun 2010 iaitu sebanyak RM14.0 juta. Saya ingin menegaskan bahawa jumlah ini hanyalah 5% dari nilai hasil keluaran - satu angka yang sangat kecil.

84.    Semua pihak mesti mempunyai sikap yang realistik. Terdapat lebih kurang 4,000 permohonan untuk mengusahasilkan perlombongan bijih besi. Adalah tidak munasabah bagi Kerajaan untuk meluluskan kesemua permohonan ini. Jika satu Permohonan diluluskan kawasan seluas 200 (dua ratus) ekar, ini bermakna di Negeri Pahang akan terdapat kawasan perlombongan bijih besi seluas 800,000 (lapan ratus ribu) ekar. Jika ini berlaku sudah pasti bukan sahaja kegiatan pertanian tetapi tapak perumahan jugak tidak dapat disediakan sebab sebahagian besar dari Negeri Pahang telah menjadi kawasan perlombongan bijih besi. Oleh sebab itu, Kerajaan akan berhati-hati  dan penuh teliti dalam menentukan jumlah kawasan-kawasan yang boleh dijadikan kawasan perlombongan bijih besi.

85.    Kerajaan telah merangka garis panduan perlombongan bijih besi di Negeri ini dengan tujuan menjaga dan memelihara alam sekitar termasuk Pelabuhan Kuantan yang pada masa ini berada dalam keadaan yang sangat teruk dicemari oleh habuk di musim panas dan lumpur semasa musim hujan. Kesulitan ini menimbulkan kemarahan rakyat bukan kepada pelombong atau kontraktor tetapi kepada Kerajaan. Kerajaan Negeri tidak mampu menanggung kemarahan rakyat sedangkan pihak lain mengaut keuntungan semata-mata. Kerajaan yakin, apabila Garis Panduan lengkap dalam sedikit masa lagi, kegiatan perlombongan bijih besi akan dapat diuruskan dengan lebih baik  dan dengan lebih teratur tanpa menjejaskan alam sekitar dan tanpa menyusahkan rakyat.

Meningkatkan Pengurusan Perhutanan

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

86.    Pengurusan hutan masa kini amatlah berbeza berbanding dengan dekad-dekad yang lalu. Hutan tidak lagi dilihat sebagai wadah untuk mengeluarkan kayu balak semata-mata, tetapi fungsinya lebih pelbagai merangkumi aspek kepentingan sebagai sumber bekalan air, kawalan banjir, hakisan tanah, sumber kestabilan alam sekitar, sumber untuk rekreasi, sumber makanan untuk masyarakat Orang Asli dan masyarakat setempat, sumber pengekalan untuk perubahan suhu dunia (climate change), sumber kepelbagaian biologi dan sumber genetik serta berbagai isu lain yang jelas menunjukkan hutan adalah sesuatu yang amat penting dan perlu dikekalkan.  Hutan adalah anugerah Allah yang hendaklah disyukuri dan dipelihara untuk generasi akan datang.

87.    Isu-isu yang berkaitan dengan perhutanan seringkali menjadi tajuk utama di peringkat tempatan dan antarabangsa serta sering diperbahaskan dalam forum-forum mengenai pembangunan mapan sumber asli dan pengekalan kestabilan alam sekitar. Di peringkat tempatan pula, isu-isu perhutanan yang menyentuh kepentingan pengekalan kawasan hutan yang mencukupi, cabaran pematuhan perlaksanaan amalan pengurusan hutan secara berkekalan yang menekankan penstabilan alam sekitar dan amalan pengurusan dan pembangunan mampan sumber hutan adalah beberapa isu yang sering menjadi perhatian oleh masyarakat umum. Ini jelas dapat dilihat daripada pelbagai inisiatif dan liputan media massa yang diadakan di peringkat tempatan dan antarabangsa yang sentiasa mengaitkan pengurusan hutan dengan kesejahteraan hidup kita. Perkembangan ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat masa kini sememangnya prihatin dan mementingkan pembangunan hutan yang seimbang dengan mengambilkira dengan lebih mantap lagi aspek-aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar.

88.    Sumber hutan di Negeri Pahang pada penghujung tahun 2010 adalah dianggarkan seluas 2.07 juta (2,068,199.20) hektar atau 57.5% daripada keluasan tanah negeri. Daripada jumlah ini, seluas 1.56 juta (1,562,902.20) hektar atau 43.44% keluasan tanah merupakan Hutan Simpan Kekal (HSK), manakala 0.40 juta (399,740) hektar atau 11.11% adalah Taman Negara/ Suaka Hidupan Liar dan Burung; serta selebihnya 0.11 juta (105,963) hektar atau 2.94% adalah Tanah Kerajaan Berhutan. Oleh sebab itu Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, semua pihak mestilah memahami bahawa walaupun Negeri Pahang ini sangat luas tetapi sebahagian besar dari keluasan Negeri Pahang ini telah pun di rezabkan untuk bahagian-bahagian rezab seperti yang disebutkan tadi rezab Hutan Kekal, Taman Negara/Suaka Hidupan Liar dan Burung dan jika kita memahami hakikat ini maka tidak akan timbul lagi anggapan seolah-oleh negeri Pahang ini mempunyai tanah yang berlebih-lebihan sedangkan hakikat sebenarnya tidaklah sedemikian.

89.    Sumber hutan merupakan aset semulajadi yang penting kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan masyarakat. Dalam konteks ini, sektor perhutanan terus memainkan peranannya sebagai salah satu penyumbang utama kepada hasil Kerajaan Negeri berjumlah RM70.01 juta bagi tahun 2011 dan RM83.11 juta bagi tahun 2010.
Bagi tahun 2011, sektor ini dijangkakan akan terus menyumbang sebanyak RM88.0 juta. Sumbangan ini adalah terdiri daripada  kutipan hasil premium, royalti dan caj-caj lain. Pada masa yang sama dalam usaha bagi mengekalkan terus prestasi sektor perhutanan yang menggalakkan dalam menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri, Kerajaan Negeri  sedang mengkaji semula kadar royalti yang perlu dikenakan ke atas pengeluaran kayu-kayu balak, meningkatkan penguatkuasaan undang-undang perhutanan serta memperkemas Sistem Kutipan Hasil Hutan Secara Berkomputer supaya kutipan hasil dari sektor perhutanan dapat dipertingkatkan lagi.

90.    Kerajaan Negeri sememangnya menyedari kepentingan sumber hutan terhadap pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat. Di atas kesedaran terhadap  tanggungjawab ini, maka Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Negeri Pahang sentiasa  dijaga, diurus dan dibangunkan  secara sistematik dan saintifik berdasarkan  prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan. Selaras dengan komitmen ini, pencapaian Pengurusan Hutan Secara Berkekalan dipantau melalui persijilan MS ISO 9001:2008 dan juga MC & I (2002). Usaha-usaha ini terbukti dengan penganugerahan Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) bagi tempoh 13 November 2007 hingga 12 November 2012. Ini bermakna bahawa pengurusan hutan di negeri Pahang ini mendapat pengiktirafan dari pihak yang mempunyai otoriti. Seperti yang dinyatakan terdahulu, Kerajaan Negeri akan terus memainkan peranan yang penting dalam memastikan sumber hutan yang berharga ini diuruskan secara mampan selaras dengan prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.  Seiringan dengan usaha dalam pelaksanaan MS ISO 9002 dan MC & I, Catuan Tebangan Tahunan (CTT) bagi Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMK-10) (2010-2015) yang telah ditetapkan oleh Majlis Perhutanan Negara adalah sebanyak 13,610 hektar akan terus dipatuhi.

91.    Dalam usaha bagi meningkatkan kutipan hasil hutan,  Kerajaan Negeri akan terus memberi keutamaan kepada aktiviti memelihara dan melindungi kepelbagaian biologi hutan, air dan tanah untuk memastikan penggunaannya secara mampan.  Kerajaan Negeri akan terus menjalankan projek-projek berkaitan dengan eko-pelancongan dan bioversiti hutan. Ini adalah sejajar dengan keperluan dan matlamat Kerajaan Negeri bagi meningkatkan hasil dan perkhidmatan hutan melalui pelbagai aktiviti perhutanan tersebut.





12.   MEMPERKASAKAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN

        Memperkasakan Pendidikan Awal

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

92.    Pembangunan pendidikan dirangka untuk memastikan semua warganegara mendapat peluang pendidikan prasekolah, rendah, menengah dan tertinggi. Justeru, kemudahan-kemudahan pendidikan telah disediakan dalam RMK-10 pada semua peringkat pendidikan dari prasekolah hingga ke peringkat tertinggi. Sekolah yang diperlukan bagi warganegara yang memerlukan pendidikan khas juga disediakan dalam RMK-10.

93.    Penyediaan kemudahan infrastruktur untuk pendidikan prasekolah telah diperluaskan secara berperingkat mulai tahun 1998. Sasaran ialah semua sekolah rendah akan menyediakan pendidikan prasekolah menjelang tahun 2011.  Manakala bagi pendidikan rendah dan menengah pula ialah membina sekolah baru di kawasan pertumbuhan penduduk untuk mengurangkan sistem persekolahan dua sesi, menggantikan bangunan sekolah yang uzur, membaikpulih bangunan yang usang dan menambah kemudahan serta mengubahsuai premis yang sedia ada mengikut keperluan-keperluan baru pengajaran dan pembelajaran seperti keperluan ICT, J-QAF, Bilik Pemulihan KIA2M, Pusat Akses Pembelajaran dan lain-lain.  Selaras dengan hasrat untuk mencapai nisbah 60:40 penyertaan pelajar dalam bidang sains dan sastera lebih banyak kemudahan khas seperti makmal sains, makmal komputer, Makmal Teknologi Kejuruteraan akan ditambah.

94.    Dalam tempoh RMK-10, pelaksanaan peluasan prasekolah bagi 43 buah sekolah telah dilaksanakan pada tahun 2010.  Di peringkat sekolah rendah & menengah aktiviti kurikulum dan kokurikulum akan diberi tumpuan bagi memastikan asas yang kukuh dalam pembangunan kompetensi teras.  Kemudahan asrama merupakan usaha berterusan untuk memberikan peluang kepada pelajar yang berpotensi dari luar bandar dan keluarga yang miskin untuk mendapat pendidikan yang berkualiti. Ini termasuk meningkatkan taraf kemudahan asrama bagi sekolah-sekolah rancangan khas dan juga pembinaan sekolah berasrama penuh.  Siling peruntukan bagi RMK-10 Rolling Plan 1 yang diluluskan berjumlah RM657.01 juta bagi melaksanakan 237 projek di bawah beberapa  komponen. Komponen-komponen yang penting termasuklah pembinaan prasekolah (62 projek) sekolah rendah, sekolah menengah dan lain-lain komponen pendidikan.



Meningkatkan Kualiti Pendidikan

95.    Sistem pendidikan yang berkualiti akan melahirkan pelajar-pelajar yang memiliki jati diri yang tinggi, inovatif, berkemahiran dan produktif, kreatif dan berdaya saing.  Input pendidikan yang berkualiti sama ada dari segi fizikal atau bukan fizikal adalah faktor utama peningkatan kualiti pendidikan.  Kualiti pendidikan juga menekankan kepentingan kurikulum pendidikan yang dapat memenuhi tuntutan pasaran kerja dan industri dengan memberi fokus kepada penguasaan Bahasa Inggeris, Sains dan Teknologi.

96.    Aktiviti kokurikulum merupakan aspek yang menyokong usaha ke arah melahirkan insan yang seimbang. Kemudahan-kemudahan kokurikulum seperti kemudahan sukan dan olahraga, pusat kegiatan kokurikulum disediakan. Aspek latihan pra perkhidmatan (pre-servis) dan dalam perkhidmatan (in-servis) merupakan program yang berterusan.  Kursus-kursus jangka pendek bagi guru-guru terlatih dalam bidang-bidang keperluan dan kemahiran yang baru dilaksanakan.

97.    Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang (YP) telah menyediakan bantuan kewangan sejumlah RM25.3 juta pada tahun 2012 untuk biasiswa sekolah dan juga pelbagai program pendidikan bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan di peringkat sekolah. Sejumlah RM13.0 juta Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) akan diagihkan kepada 26,000 orang pelajar sekolah menengah dengan amaun biasiswa RM500 setahun bagi setiap pelajar. Bagi sekolah rendah, dijangkakan seramai 20,000 orang pelajar akan menerima Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) yang melibatkan peruntukan berjumlah RM5.0 juta dengan amaun biasiswa RM250.00 setahun bagi setiap pelajar. 

98.    Yayasan Pahang juga menyediakan RM3.0 juta bagi bantuan khas persekolahan, iaitu beg dan pakaian sekolah bagi anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan.  Dianggarkan 30,000 orang pelajar akan menerima bantuan ini.  Sejumlah RM4.0 juta disediakan bagi Program Khas Sokongan Pendidikan meliputi program-program berikut :

                                                 i.    Program Jawab Untuk Jaya (JUJ)
                                                ii.    Sekolah Indera Shahbandar Pahang (SISP)
                                              iii.    Program Jejak Gemilang
                                              iv.    Kem Bahasa Inggeris
                                               v.    Program Puncak Jaya (PPJ)
                                              vi.    Hadiah Menteri Besar Pahang
                                            vii.    Program Anak Yatim Permata Hati (PERHATI)

99.    Dijangka lebih 30,000 orang pelajar akan menerima manfaat dari Program Khas Sokongan Pendidikan.  Program ini sangat membantu dalam pencapaian peperiksaan awam Negeri Pahang. Program JUJ telah berjaya meletakkan prestasi Negeri Pahang antara negeri teratas dalam peperiksaan SPM.  Program Jejak Gemilang meliputi UPSR, Sains PMR dan Projek Intervensi Semua Subjek A (PiSSA). Sejak diperkenalkan pada tahun 2003, peningkatan pelajar yang mendapat semua A telah melonjak daripada 3 orang kepada 106 orang.  Peningkatan yang berganda ini jelas membuktikan keberkesanan program selama 6 tahun.

100.  Program Puncak Jaya yang diperkenalkan pada tahun 2008 berfokus kepada pelajar yang berada pada tahap minima.  Program ini bertujuan memastikan pelajar layak mendapat keputusan optimum bagi melayakkan mereka ke IPT.  Sehingga kini seramai 679 pelajar telah mengikuti program ini, dan lebih 90% telah berjaya melanjutkan pengajian mereka ke IPT.  PPJ merupakan satu lagi program pendidikan berinovasi yang telah diperkenalkan oleh Yayasan Pahang.

101.  Program JUJ, PiSSA dan Puncak Jaya merupakan program 3 serangkai berfokus kepada pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan SPM.  Program ini melibatkan seluruh anak yatim di Negeri Pahang yang akan menduduki peperiksaan SPM. Objektif program adalah untuk memberi perhatian  yang sewajarnya kepada anak-anak yatim tanpa mengira kaum supaya mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.  Pencapaian program ini juga memberangsangkan iaitu 68% dari pelajar-pelajar PERHATI ini berjaya menyambung pelajaran mereka sama ada di peringkat IPT, Tingkatan 6 mahupun ke institusi-institusi kemahiran.

Ke Arah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Menengah Agama

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

102.  Program pendidikan akan terus memberi fokus kepada pengukuhan pendekatan bersepadu antara dua kurikulum iaitu Kurikulum Nizam Bo’uth dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah bagi memastikan tahap pendidikan Islam dan pendidikan kebangsaan bergerak seiring bagi melahirkan generasi yang mempunyai jati diri dan berdaya saing yang kuat bagi menghadapi cabaran transformasi dan arus globalisasi.  Kerjasama yang terjalin dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memastikan kesinambungan Program Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dilaksanakan di seluruh Negeri Pahang.




Mempertingkatkan Peluang Ke Pusat Pengajian Tinggi

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

103.  Pada tahun 2012, sejumlah RM36.6 juta diperuntukkan bagi penajaan pendidikan tinggi. Sejumlah RM29.9 juta dikeluarkan dalam bentuk pinjaman pendidikan, iaitu RM22.0 juta bagi program akademik dan RM7.9 juta bagi program kemahiran.  Dijangka seramai 2,500 orang akan menerima manfaat dari tajaan program akademik dan lebih 1,000 pelajar akan menerima   tajaan program kemahiran.

104.  Penajaan program kemahiran (skill-based) adalah di IKIP Advanced Skills (IAS) dan di Politeknik. Pengwujudan program kemahiran seperti perhotelan, komputer, automotif dan lain-lain di IAS membuka peluang yang lebih luas kepada pelajar lepasan SPM dan juga PMR yang cenderung kepada pengajian berbentuk skill based.

105.  Dasar ini adalah sejajar dengan Teras Strategik Keempat RMK-10 yang mahu mengarusperdanakan pendidikan teknikal, latihan vokasional dan kemahiran diri. Di negara maju, pendidikan kemahiran merupakan antara pilihan utama pelajar kerana mempunyai prospek kerjaya yang baik.  Ini berlainan di negara kita, program kemahiran dilihat sebagai program pilihan terakhir kerana persepsi prospek kerjaya yang terhad.  Setiap tahun seramai 100,000 lepasan SPM yang memasuki pasaran kerja tanpa  mempunyai latihan kemahiran. Berhubung tenaga kerja, hanya 23% daripada ‘workforce’ negara kita berkemahiran tinggi.  Peratusan ini jauh lebih rendah berbanding dengan negara maju.  Komposisi pekerja mahir perlu ditingkatkan kepada 37% menjelang tahun 2015 bagi menjayakan Wawasan 2020 sebagai sebuah negara maju.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

13.          MEMPERKUKUHKAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN    AWAM

              Membudayakan Inovasi, Kreativiti Di Sektor Awam

106.  Bagi memastikan negara dapat membuat anjakan daripada  ekonomi berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi, penjawat awam harus bersedia melakukan transformasi dari segi mental dan budaya kerja untuk bergerak seiring dengan hasrat Kerajaan.                Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam ucapannya di Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 menggariskan 4 nilai utama pentadbiran Kerajaan iaitu :

        a)     Membudayakan Kreativiti dan Inovasi

        b)     Mementingkan kepantasan bertindak dan membuat
                keputusan

        c)     Nilai wang; dan

        d)     Nilai Integriti.

107.  Saya percaya program dan projek yang dirancang oleh kerajaan tidak akan dapat direalisasikan tanpa adanya Sistem Penyampaian Awam yang cekap dan berintegriti.  Berdasarkan sokongan dan komitmen penjawat awam yang tidak berbelah bagi dalam melaksanakan semua perancangan yang telah dibuat, pihak Kerajaan telah mengumumkan ganjaran yang amat baik kepada semua penjawat awam.

108.  Pada masa ini, masyarakat telah berfikiran melampaui batas kebiasaan kerana keadaan dunia tanpa sempadan.  Oleh itu, bagi melakukan perubahan dan anjakan terutama dalam persekitaran ekonomi berasaskan pengetahuan yang kompetatif, penjawat awam haruslah memiliki minda berinovasi dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka.



14.   PENUTUP

        Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

109.  Sebelum saya mengakhiri ucapan pembentangan bajet negeri, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyeru semua ahli-ahli dewan, ketua-ketua jabatan dan inysaAllah diketahui oleh seluruh rakyat Negeri Pahang bahawa kita perlu mempertahankan apa yang kita ada sekarang. Kita perlu pertahankan kemerdekaan, kebebasan, perpaduan kaum yang wujud di negeri di negara kita sekarang ini. Saya yakin dan penuh percaya konsep perpaduan kaum muhibah antara kaum yang telah diasaskan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu, masih sangat relevan sehingga sekarang ini. Selaku Ketua Kerajaan Barisan Nasional yang dipilih oleh rakyat, saya tetap yakin semangat Perikatan, semangat Barisan Nasional iaitu satu semangat negeri dan negara yang ditadbir dan diuruskan oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; Melayu, Cina, India, Orang Asli, Iban, Dayak, Kadazan seluruhnya mempunyai peranan dalam menentukan kerajaan negeri dan negara yang stabil.

110.  Kita tidak perlu untuk berpolitik setiap masa namun hakikatnya ialah bahawa dalam negara kita yang rencam ini semangat tolak ansur yang telah ditunjukkan sejak dahulu lagi telah membawa kestabilan politik. Semasa kita mula mencapai kemerdekaan sebagai contoh, kita telah bersetuju bersama-sama mendukung perlembagaan. Sebagai contoh, Ugama Islam ugama rasmi tetapi ugama lain tidak dihalang untuk diamalkan.

111.  Bermakna kalau kita mengatakan bahawa Islam itu hak orang Melayu maka kita boleh katakan juga bahawa amalan ugama lain, hak kaum lain tidak diabaikan. Kesemua ini berdasarkan kepada bertolak ansur. Kalau kita tengok negara-negara yang hampir mencapai kemerdekaan sama kita khususnya di benua Afrika, tidak ada langsung kemajuan yang dicapai. Kita telah lihat bagaimana Malaysia dengan kepimpinan pemimpin-pemimpin terdahulu Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak telah ada toleransi antara pemimpin berbagai kaum; Melayu, Cina, India. Itu sebabnya apabila kita mencapai kemerdekaan setiap bahasa, setiap sekolah semua suku kaum dibenarkan untuk diwujudkan. Tidak seperti negara jiran kita iaitu semua harus menukar nama kepada nama bumiputra negara berkenaan.

112.  Kalau di Malaysia ini, kita ambil tengok sebagai contoh, kita dapat lihat bagaimana sekolah kebangsaan kemudian itu sekolah Cina, sekolah India masih terus hidup. Sekolah Cina kalau kita perhatikan mereka mempunyai dua sistem. Mereka menjalani peperiksaan sistem pelajaran Cina, mereka juga melalui sistem pelajaran yang ada. Mereka menghadapi dua peperiksaan. Tidak ramai yang tahu bahawa walaupun sekolah Cina, Sekolah India, Tamil ini dikatakan sekolah bantuan modal, tetapi gaji guru, gaji kakitangan termasuk kerani dan tukang kebun adalah dibayar oleh Kerajaan. Jangan ingat bahawa sekolah-sekolah ini diabaikan.

113.  Untuk menyedarkan lagi masyarakat kita bahawa kita ini berbilang kaum, baru-baru ini Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan bantuan RM100 juta untuk sekolah Tamil dan RM100 juta untuk sekolah Cina. Saya bangkitkan perkara ini ialah untuk menunjukkan bahawa sistem yang ada sekarang ini dengan kita semua menjadi sebahagian sistem itu adalah sudah cukup baik. Kita sudah dapat mengekalkan keamanan, kestabilan dan kita perlu akui hakikat bahawa dalam masyarakat Malaysia yang sangat rencam dan majmuk ini tidak ada satu kaum pun yang boleh memerintah sesuka hati tanpa kerjasama kaum-kaum yang lain. Itu sebabnya saya sendiri selaku Ketua Kerajaan, saya yakin semangat Perikatan, semangat Barisan Nasional perlu kita terapkan dan  terus kita amalkan.

114.  Kita tidak mahu mengkritik atau mengulas sesiapa tetapi kalau kita tengok Pakatan Pembangkang ini, mereka pun tidak tahu lagi kalau mereka memerintah, siapa yang menjadi Perdana Menteri, siapa jadi Menteri. Mereka bekerjasama tanpa strategi tanpa sistem yang baik yang betul. Tujuan mereka ialah untuk menjatuhkan Kerajaan yang ada, kemudian baru mereka berkira bicara siapa jadi Perdana Menteri, siapa jadi Menteri. Tidak seperti kita; kita sudah tentu. Kalau kita memerintah, ini bentuk proses kuasanya dan kita berunding dalam setiap perkara. Kita mengadakan rundingan atau consultation antara satu sama lain dan percayalah, pergilah ke negara-negara yang lain, carilah tempat kalau ada tempat yang sebaik, seaman, seindah, secantik Malaysia ini; tidak ada. Oleh sebab itu marilah kita bersama-sama memelihara apa yang telah ada ini. Jangan kita runtuhkan rumah mahligai yang telah kita bina untuk kita diam bersama-sama.

        Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

115.  Saya sekali lagi bersyukur ke hadrat Allah Subhanawataa’la kerana kestabilan dan keharmonian serta perpaduan rakyat masih kekal di Negeri Pahang Darul Makmur.  Pencapaian ini adalah kerana hasil usaha gigih antara rakyat dengan pemerintah yang telah memberi sokongan dan kerjasama kepada kerajaan dalam melaksanakan dasar dan strategi membina Negeri Pahang dan Negara Malaysia.

116.     Saya sedar bahawa amanah dan tanggungjawab serta mandat yang diberikan oleh rakyat ini perlu dilaksanakan dengan adil dan saksama. Oleh itu Bajet 2012 yang disediakan ini meliputi semua sektor kehidupan rakyat.  Dengan landasan yang kukuh yang telah dibina, kita yakin akan dapat mencapai lebih banyak kejayaan di masa hadapan.  Marilah kita berdoa agar sentiasa diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah Subhanahuwata’ala.

 Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

117.  Bajet ini adalah bajet yang sangat realistik. Ianya adalah untuk kepentingan kesejahteraan rakyat. Ianya adalah untuk kepentingan semua kaum yang ada di negeri Pahang ini.  Ianya mengambil kira kemampuan Kerajaan Negeri dan diseimbangkan dengan tujuan menjaga kepentingan rakyat. Bajet ini bukan sekali-kali Bajet Pilihanraya.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, dengan doa dan harapan itu, saya mohon mencadangkan.

Terima kasih.

1 comment:

  1. Tahniah krn mempamirkan teks ucapan Bajet Pahang 2012. Ia jelas menunjukkan ketelusan Kerjaan Ngeri terhadap pendapatan & perbelanjaan Ngeri. Apapun sebagai org luar di Perak ni, kami menyampaikan selamat maju jaya Kerajaan Pahang Darul Makmur.

    Terima kasih, dr Kapaktajam.

    ReplyDelete