Pernahkah anda cuba untuk membeli hartanah di Pulau Pinang?
Saya pernah, dan ini
adalah dari pengalaman saya sendiri: Anda hanya akan mampu memiliki
hartanah di Pulau Pinang sekiranya ada seorang jutawan! Rumah teres
bersaiz sederhana di George Town kini mencecah RM600,000 dan ada juga
yang dijual pada harga RM1 juta – sangat mahal berbanding lima tahun
yang lepas! Anda juga boleh menjenguk di kawasan yang kurang dibangunkan
seperti Balik Pulau yang mana saya juga telah membuat perbandingan.
Rumah-rumah di sana juga kini mencecah RM400,000.00!
Pulau Mutiara adalah sebuah destinasi pelancongan tumpuan
pelancong-pelancong antarabangsa tetapi kini secara perlahan telah
menjadi sebuah kawasan eksklusif untuk golongan berada sahaja. Dalam
kerakusan kerajaan negeri Pulau Pinang membangunkan hartanah untuk
pembinaan kondominium mewah dan projek mega, saya dapat rasakan bahawa
kerajaan pimpinan DAP ini telah mengenepikan nasib rakyat biasa seperti
saya.
Semenjak Pakatan Rakyat
mengambil alih tampuk kepimpinan Pulau Pinang, mereka telah berjanji
untuk membina sejumlah 11,500 buah rumah mampu milik pada harga sekitar
RM150,000. Janji tersebut jelas hanya taburan janji-janji manis kerana
mengikut Laporan Audit Negara 2011, rancangan tersebut masih belum
dilaksanakan, malahan saya juga ingin tekankan kekurangan rumah di dalam
lingkungan harga RM150,000 - RM350,000. Hakikatnya, tidak wujud
perumahan bagi rakyat berpendapatan sederhana seperti saya di Pulau
Pinang.
Ini adalah sebab utama mengapa saya di antara ribuan rakyat yang telah
beratur panjang memohon perumahan di bawah inisiatif PR1MA. Lawatan
Perdana Menteri ke Pulau Pinang minggu lepas ternyata telah memberikan
suntikan semangat kepada ribuan rakyat Pulau Pinang yang kini sangat
merasakan tempias pembangunan luar kawalan di bawah seliaan DAP.
Perdana Menteri telah meyakinkan kami bahawa sejumlah 20,000 buah rumah
akan dibina, dan separuh daripadanya adalah di bawah rancangan PR1MA.
Sebagai rakyat jati Pulau Pinang, saya sangat mengalu-alukan inisiatif
ini. Sesiapa sahaja yang mempunyai pendapatan isirumah di antara RM2,500
hingga RM7,500 layak untuk mendaftar dalam program ini dan diberi
pilihan untuk membeli rumah dalam lingkungan harga RM150,000 hingga
RM400,000.
Pada pendapat saya Kerajaan Persekutuan jelas prihatin dengan
permasalahan rakyat dan isu masalah rumah mampu milik di Pulau Pinang
ini ternyata akan menjadi isu hangat menjelang Pilihanraya Umum ke-13
nanti. Nampaknya setakat ini hanya Barisan Nasional sahaja yang dapat
menyakinkan saya bahawa mereka mendengar segala keluhan dan permasalahan
rakyat. Saya telah hilang keyakinan saya terhadap kerajaan negeri Pulau
Pinang yang hanya berminat untuk menjadikan Pulau Pinang satu daerah
eksklusif buat golongan berada.
Namun begitu saya percaya kekurangan tanah di Pulau Pinang adalah salah
satu sebab mengapa agak sukar untuk menyediakan kawasan perumahan mampu
milik di Pulau Pinang.
Tidak keterlaluan juga kiranya saya katakan bahawa kerajaan negeri Pulau
Pinang seolah secara sistematik sedang mengusir keluar golongan
berpendapatan rendah di Pulau Pinang ke tanah besar. Semua sedia maklum
bahawa golongan berpendapatan rendah di Pulau Pinang majoritinya adalah
terdiri daripada kaum Melayu dan India. Adakah DAP berniat untuk
menjadikan Pulau Mutiara ini persis Singapura?
No comments:
Post a Comment