Pergerakan lalu lintas di beberapa jalan utama di bandar ini hampir lumpuh selama sejam berikutan tindakan kira-kira 200 belia yang menaiki motosikal mengadakan demonstrasi membantah pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Dengan memakai baju T berwarna kuning yang tertera perkataan ‘Selamatkan Pulau Pinang, LGE (Lim Guan Eng) Rasis’, mereka dipercayai berbuat demikian kerana kecewa dengan corak pentadbiran Setiausaha Agung DAP itu yang seolah-olah meminggirkan golongan belia dengan tidak menyediakan kemudahan riadah mencukupi.
Demonstrasi bermula kira-kira pukul 12.30 tengah hari di depan Pasar Chowrasta, Jalan Penang di sini dengan para peserta berarak menuju Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang sejauh satu kilometer.
Mereka kemudian mengelilingi Komtar sebanyak tiga kali sambil melaungkan kata-kata ‘Selamatkan Pulau Pinang’, ‘Selamatkan Mat Rempit’ dan ‘Kami Mahu Litar Lumba’.
Mereka seterusnya bergerak ke Dewan Undangan Negeri (DUN) di Lebuh Light di sini sebaik anggota-anggota polis tiba di Komtar bagi mengawal keadaan.
Di depan DUN, kumpulan berkenaan berhimpun hampir 15 minit.
Bagaimanapun, keadaan yang pada mulanya terkawal bertukar kecoh apabila beberapa peserta demonstrasi bertindak kasar dan ingkar dengan arahan polis supaya bersurai.
Seramai lima orang ditahan termasuk Pengasas Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Pertiga), Sabaruddin Ahmad.
Mereka ditahan kerana mengadakan perhimpunan tanpa permit dan tidak mematuhi arahan polis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya menganggarkan seramai 200 orang menyertai perhimpunan tersebut.
“Seramai 100 anggota polis termasuk Unit Tindakan Ringan (LSF) dikerah berkawal di Komtar dan DUN sebaik menyedari kehadiran kumpulan ini.
“Buat masa ini, kita menahan lima orang untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Ng Wei Aik mendakwa perhimpunan di depan DUN bertujuan menarik perhatian orang ramai dengan memainkan isu perkauman.
“Kebanyakan peserta perhimpunan ini terdiri daripada samseng jalan raya untuk membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam.
“Polis kena ambil tindakan tegas ke atas mereka dan jangan hanya tangkap dua atau tiga orang saja sedangkan ramai lagi yang menyertai perhimpunan ini,” ujarnya.
Sejak DAP mentadbir Pulau Pinang pada 2008, tidak kurang 50 demonstrasi telah diadakan oleh pelbagai pihak bagi membantah corak pentadbiran Guan Eng.
Antara demonstrasi besar yang pernah dianjurkan adalah bantahan terhadap penghapusan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 14 Mac 2008 membabitkan kira-kira 3,000 orang, bantahan oleh penduduk Kampung Buah Pala pada 2009, Perhimpunan Sedaq pada 5 Februari 2010 dan perarakan lebih 1,500 orang di Komtar dan Jambatan Pulau Pinang pada 1 Julai lalu.
Demonstrasi terhadap Guan Eng juga membabitkan pelbagai cara aneh yang dilakukan oleh para peserta termasuk menghantar hadiah keranda, kek hitam, bunga hitam dan pakaian dalam wanita.
No comments:
Post a Comment