
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM) mengesahkan ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim di London School of
Economics (LSE) mempunyai unsur-unsur pluralisme agama.
Pengesahan rasmi JAKIM itu dibacakan
oleh wakil jabatan itu dalam Parlimen sebagai menjawab soalan yang
diajukan oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Nordin
dalam sesi soal jawab pada sidang Dewan Rakyat semalam.
Zulkifli sebagai respon kepada jawapan
JAKIM itu, menggesa jabatan itu mengambil tindakan segera ke atas Anwar
supaya aliran agama yang menyimpang itu tidak terus menular di negara
ini.
Katanya, gerakan pemikiran liberal
yang mengandungi fahaman pluralisme itu sebagaimana yang dirujuk dalam
ucapan Anwar pada LSE itu adalah jelas sekali menyeleweng dari sudut
akidah Islam dan dikategorikan sesat.
Justeru, katanya, JAKIM perlu
mengambil tindakan serupa sebagaimana yang telah dikenakan terhadap
ajaran-ajaran sesat sebelum ini seperti gerakan al-Arqam dan Ayah Pin.
“Saya mendesak JAKIM mengambil tindakan kerana soal akidah tidak boleh dipermainkan.
“Saya juga menyeru rakan-rakan ulama
dalam Pas supaya memperbetulkan fahaman Anwar sebelum mereka bercakap
mengenai hudud. Jika dalam kumpulan mereka sendiri mempunyai asas
fahaman tidak betul seperti ini, bagaimana mereka mahu laksanakan kepada
orang lain?” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen semalam.
Menurutnya, fahaman pluralisme adalah
berbeza dengan konsep pluraliti yang mana Islam menghormati dan menerima
kepelbagaian agama sebaliknya menentang fahaman pluralisme yang
menyamakan Islam dengan agama lain.
“Saya sendiri akan menulis kepada Anwar berhubung isu ini dan meminta beliau segera pulang ke pangkal jalan,” katanya.
Turut hadir bersama Zulkifli dalam
sidang media di lobi Parlimen itu adalah Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk
Seri Zahrain Mohamed Hashim.
Zahrain turut menyokong pandangan
Zulkifli dengan berkata, Anwar telah bertindak melampaui batas apabila
sanggup menggadaikan maruah Islam melalui fahaman pluralisme tersebut.
“Saya secara peribadi meminta beliau bertaubat dan insaf.
“Impian untuk menjadi Perdana Menteri
bukan segala-galanya dalam kehidupan. Janganlah sampai menggadaikan
maruah agama dan bangsa sendiri,” katanya.
Sebelum ini, ucapan Ketua Umum PKR di
LSE bertajuk “Religion and Pluralisme in a Divided World” Pada 18 Mac
tahun lalu telah menimbulkan kritikan ramai pihak.
Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Felo
Amat Utama, International Institute of Islamic Thought and Civilization
(ISTAC) menulis satu kertas kerja khusus bertajuk ““Pluralisme Agama
dan Anwar : Beberapa persoalan dilihat dari pandangan arus perdana
Islam” untuk menjawab ucapan Anwar itu.
Menurut Felo Amat Utama ISTAC itu, sekurang-kurang 12 elemen dalam ucapan Anwar di LSE itu yang bercanggah dengan akidah.
Salah seorang sahabat Anwar sejak dari
tahun 1970, Ustaz Ismail Mina mengambil inisiatif menganjurkan seminar
sehari melalui NGO, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia
(MUAFAKAT) untuk membahas dan menilai ucapan Anwar di LSE itu.
Revolusi seminar sehari itu
menyarankan agar pihak berkuasa agama di semua peringkat di Malaysia,
wajar memantau Gerakan Pluralisme Agama dan mengambil langkah mencegah
dengan apa cara sekali pun; individu atau Jawatankuasa Organisasi yang
menganut fahaman Pluralisme Agama perlu diberi kaunseling, nasihat dan
ajaran mengenai akidah Islam yang sebenar dan majlis fatwa perlu segera
memberi fatwa yang lebih jelas berkenaan dengan aliran baru yang
merosakkan agama itu.
Ustaz Ismail Mina turut membidas Anwar berkenaan Pluralisme Agama dalam satu pertemuan.
No comments:
Post a Comment