ANIMSI

home

Followers


Monday 30 September 2013

Laporan Ketua Audit Negara Dibentang Secara Bersiri Mulai Tahun Ini


Mulai tahun ini, Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri, dibentangkan dalam tiga siri.
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 Siri 1 dan 2 dibentangkan di Parlimen hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong manakala Siri 3 dijangka dikemukakan pada November bersama-sama Laporan Ketua Audit Negara Penyata Kewangan dan Pengurusan Kewangan Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan.


Menurut kenyataan ketua audit negara pada Selasa, langkah itu merupakan satu daripada empat inisiatif baharu di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) Membanteras Rasuah.

Ia bertujuan supaya tindakan susulan dan penambahbaikan boleh diambil lebih cepat ke atas isu-isu yang dibangkitkan oleh Jabatan Audit.
Satu lagi inisiatif di bawah NKRA itu ialah Paparan Susulan Laporan Ketua Audit Negara secara dalam talian yang dilancarkan oleh ketua setiausaha negara pada 30 Mei dan mula beroperasi hari ini.
Melalui paparan susulan itu orang ramai boleh mengakses untuk mengetahui status tindakan susulan terhadap isu-isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun mulai tahun 2011.
Menurut kenyataan itu, dua lagi inisiatif di bawah NKRA berkenaan ialah penubuhan jawatankuasa tindakan dan penubuhan ‘Putrajaya Inqusition’.
Jawatankuasa Tindakan yang dipengerusikan oleh ketua audit negara ialah untuk memastikan siasatan lanjut ke atas kes-kes disyaki melibatkan penipuan atau rasuah yang dikenal pasti dalam Laporan Ketua Audit Negara, manakala ‘Putrajaya Inquisition’ pula yang dipengerusikan oleh perdana menteri akan menyelesaikan kes-kes yang belum dapat diselesaikan sebegitu lama.
Bagi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 Siri 1 dan 2, sebanyak 121 pengauditan prestasi dan 49 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan telah dilaksanakan di peringkat persekutuan dan negeri.

Pengauditan ini dilaksanakan merangkumi bidang pembinaan, penyenggaraan, penguatkuasaan undang-undang, perolehan, pengurusan aset, pengurusan hasil cukai, program peningkatan sosioekonomi, pertanian, infrastruktur, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pengurusan syarikat.
Perbendaharaan Malaysia juga mengeluarkan Laporan Maklum Balas mengenai Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 Siri 1 dan 2 yang memberikan ulasan/tindakan terkini daripada ketua perkhidmatan terhadap isu-isu yang dilaporkan oleh ketua audit negara dalam laporan berkenaan.

Kandungan laporan itu dan sinopsisnya boleh dilayari dalam Laman Web Jabatan Audit Negara di alamat http://www.audit.gov.my mulai hari ini.
Sebarang pertanyaan lanjut/pandangan mengenai laporan itu boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara.Cakera padat (CD) yang mengandungi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 Siri 1 dan 2 serta Laporan Maklum Balas oleh Perbendaharaan Malaysia turut diedarkan kepada pihak media di Parlimen.

No comments:

Post a Comment