KUALA
LUMPUR, 6 Nov – Kenyataan sesetengah pihak kononnya Ulama masuk UMNO
hanyut adalah kenyataan umum dan memberikan persepsi negatif selain
dilihat merupakan hukuman terhadap ilmuan Islam yang berada di dalam
UMNO.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ilmuan Muda (ILMU) Ustaz
Fathul Bari Mat Jahaya berkata perkataan berkenaan adalah yang sangat
tidak adil dan sewajarnya pihak yang mengeluarkan kenyataan tersebut
lebih spesifik dalam bab apa dan siapa yang terlibat.
“Firman Allah s.w.t : Jangan kerana jenayah sesuatu kaum
menyebabkan kamu berlaku tidak adil ke atas mereka. Adillah sesungguh
keadilan itu dekat dengan taqwa.
“Maka orang yang mengeluarkan kenyataan seumpama ini dia sewajarnya
lebih adil dalam menghukum. Sewajarnya spesifikkan dalam bab apa, dan
siapa yang terlibat. Walaupun tidak dinyatakan nama tetapi dinyatakan
permasalahan dan konflik yang berlaku.
“Isu perbezaan pertembungan ulama dalam UMNO saya nak tanya pula
apakah ulama dalam Pas juga tidak hanyut. Bagaimana pula ulama di dalam
PKR… bagaimana ulama yang tidak ada mana-mana parti tetapi apabila
berada di atas pentas parti tersebut dia menyokong parti berkenaan.
Apabila berada di atas pentas parti yang lain pula, dia menyokong parti
lain tersebut. Ini lebih teruk… Ini lebih parah,” katanya kepada
UMNO-Online di sini.
Beliau seterusnya memohon agar mereka yang mengeluarkan kenyataan itu
betaqwa kepada Allah s.w.t agar lebih adil dalam menghukum yang
akhirnya membawa kepada ketaqwaan.
Tambah beliau lagi kenyataan berkenaan dilihat satu kenyataan yang
serius yang mencalarkan kredibiliti ilmuan Islam di dalam UMNO.
“Saya rasa kemasukan ilmuan Islam memberi impak positif untuk
perubahan. Kita tidak kata UMNO itu sebuah parti yang sempurna dan
lengkap. Ada kekurangan….ada kelemahan.
“Maka kita mengharapkan penyertaan ilmuan Islam ke dalam UMNO mampu
memberikan impak positif dan perubahan khususnya hal yang berkaitan
dengan pegangan dan dasar-dasar agama. Itu yang kita impikan. Dan kita
mengharapkan sokongan…orang yang mengatakan ‘neutral’.. sewajarnya
‘support’ kepada kebaikan yang dilakukan,” katanya.
Menjawab soalan apakah ulama yang menyertai Pas diangap sempurna, Ustaz Fathul menjelaskan nilaian utama adalah al-haq.
“Nilaian kita adalah al-haq. Kalau sekiranya dia tidak berada di
dalam UMNO atau tidak di dalam Pas sekalipun tetapi dia bercakap benar
maka kenyataan itu kita terima sebagai satu nasihat dan muhasabah.
“Dan begitulah juga sebaliknya. Jika ulama itu berada di dalam UMNO
atau berada di dalam Pas tetapi dia bercakap yang benar maka kita
terima sebagai nasihat dan teguran..tetapi kena ingat kaedah dalam
teguran….kaedah dalam kita memperbetulkan.
“Sehingga Imam Syafie pernah berkata kalau sekiranya kalian
menegurku di khalayak ramai jangan kalian hairan sekiranya aku menolak
teguran kalian. Maknanya nak digambarkan oleh Imam Syafie setiap manusia
ada egonya..setiap manusia ada perasaannya. Ada orang boleh terima
teguran secara demikian…maka kita perlu juga menghormati pendirian
seseorang,” katanya.
No comments:
Post a Comment