hiasan
KUALA LUMPUR- Seorang wanita terpaksa berdepan cemuhan rakan dan
keluarga apabila mukanya digunakan di sebuah laman sosial yang
mempromosikan khidmat seks.
Bukan itu saja, gambar mukanya itu turut diubah suai menggunakan
teknik ‘super imposed’ bersama gambar tubuh badan yang mengghairahkan.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 20, mengetahui mengenai
laman sosial terbabit sejak Mei tahun lalu, namun tidak menyangka ia
berlarutan.
“Saya diberitahu rakan mengenai laman sosial terbabit yang
menggunakan gambar muka saya dan melaporkannya kepada pengurusan laman
sosial itu.
“Selepas itu, saya tidak lagi dapat melihat profil berkenaan
yang menggunakan nama ‘Jessy Srikembangan’ dan menganggap ia sudah
dikenakan tindakan oleh pengurusan laman sosial terbabit,” katanya
ketika sidang media di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, di Jalan Ampang,
di sini, semalam.
Tetapi, dia sekali lagi dihubungi rakannya pada Ogos lalu dan
bertanya sama ada dia terdesak memerlukan wang kerana terjumpa laman
sosial menawarkan perkhidmatan seks menggunakan gambarnya.
Katanya, dia membuat siasatan sendiri dan menemui profil ‘Jessy
Srikembangan’ serta ‘Lisa Carino’ yang menggunakan gambar wajahnya.
“Saya menghubungi nombor telefon yang disertakan di satu daripada
profil berkenaan menggunakan SMS dan mereka memberikan nombor akaun bank
atas nama ‘Jessy Ling Kok Diong’ sebelum meminta saya memasukkan wang
ke akaun itu.
“Kini saudara-mara saya juga mengetahui mengenai profil berkenaan selepas rakan-rakan memasuki profil itu,” katanya.
Wanita berasal dari Shah Alam itu membuat laporan di Balai Polis Shah
Alam sebelum mendapatkan bantuan Biro Pengaduan Awam MCA bagi
membersihkan namanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro, Datuk Seri Michael Chong berkata, ini
kes pertama diterima pihaknya menggunakan modus operandi berkenaan.
“Ini cara penipuan baru digunakan sindiket untuk mengaut keuntungan
segera dengan menggunakan maklumat peribadi serta gambar individu lain.
“Kami serahkan pada polis menyiasat perkara ini supaya tindakan lanjut boleh diambil,” katanya. (Harian Metro)
No comments:
Post a Comment