SHAH ALAM - Pendedahan berkaitan tindakan Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dilaporkan menulis kepada
Menteri Luar Australia, Senator Bob Carr meminta negara terbabit
membantu memantau Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Malaysia bukanlah
sesuatu yang mengejutkan.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
memberitahu, tindakan mencari pengaruh luar bukan kali pertama dilakukan
oleh Ketua Umum PKR itu dalam usaha mendapatkan kuasa politik di negara
ini.
“Ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana Anwar telah pun acapkali
bertindak sedemikian, malah lebih dari itu apabila sanggup
memburuk-burukkan negara sendiri lantaran mahu mengambil hati para
pemimpin luar dan bersimpati kepadanya,” katanya dipetik Umno Online, hari ini.
Carr dipetik berkata Australia tidak boleh dan
tidak akan mempengaruhi cara pilihan raya umum patut dilaksanakan di
Malaysia walaupun menerima rayuan berhubung perkara itu daripada Anwar.
Anwar dilaporkan menulis kepada Carr untuk meminta Australia
membantu dalam memastikan pilihan raya umum akan datang di Malaysia,
yang berkemungkinan diadakan awal tahun depan, bebas daripada penipuan
dan rasuah.
Anwar juga dilaporkan memberitahu Carr bahawa beliau menemui bukti
tentang penipuan dalam pendaftaran pemilih dan anomali lain dalam
menghadapi pilihan raya itu.
Beliau turut mempertikai kebebasan Suruhanjaya Pilihan Raya dan mendakwa pembangkang diketepikan oleh media.
Bagaimanapun, Carr berkata, pilihan raya di Malaysia merupakan urusan rakyat Malaysia sendiri.
Dilaporkan Anwar meminta bantuan Australia dalam PRU akan datang atas
dakwaan untuk memastikan ia bebas daripada penipuan dan rasuah selain
kononnya menemui bukti tentang penipuan dalam pendaftaran pemilih dan
anomali lain dalam menghadapi pilihan raya.
“Apa lagi yang Anwar belum lakukan kerana sebelum ini dia bukan saja
merendah-rendahkan kedudukan negara sendiri tetapi turut menganggap
sistem demokrasi dan perundangan di Malaysia juga adalah lapuk dan
ketinggalan,” kata Tengku Adanan yang juga Setiausaha Agung Barisan
Nasional (BN).
Awal tahun ini, kata laman itu, media turut melaporkan Anwar telah ke
Turki dan menafikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi selain
tidak ada satu pun media yang ada di negara ini bebas untuk beroperasi
serta mendakwa bahawa dia dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri
dulu adalah kerana mengkritik kepimpinan Perdana Menteri ketika itu.
“Anwar lebih gemar meminta bantuan dari negara luar negara kerana rakyat di negara ini sudah tahu siapa dia yang sebenar.
“Tidak ada sesiapa yang mahu mempercayainya lagi sebagaimana pelbagai
janji yang ditaburkan bukan saja sebelum dapat bentuk kerajaan bersama
pakatan pembangkang di beberapa negeri tetapi dah ada kuasa pun terus
menipu,” katanya lagi.
Ujarnya, jika sebelum mendapat kuasa mereka menjadikan manipulasi dan
persepsi sebagai satu taktik bagi memperlihatkan kononnya kerajaan
sering melakukan kesilapan tetapi malangnya kelakuan tersebut berterusan
biarpun menjadi wakil rakyat dan pemimpin.
“Mereka tidak ada modal untuk tarik perhatian jadi mereka tuduh
kerajaan BN khususnya Umno sebagai parti yang selalu salah tanpa mereka
sedar bahawa mereka perlu berdepan dengan kenyataan yang dimahukan oleh
rakyat," katanya.
Malah tambah beliau, "mereka buat macam-macam tuduhan terhadap kerajaan
termasuklah PRU kononnya tidak telus sedangkan jika ia benar-benar
berlaku adakah pakatan pembangkang akan mendapat peluang untuk beroleh
kemenangan di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak pada PRU 2008
lalu."
Tambah beliau, apabila Anwar Ibrahim membuat kenyataan terbuka di luar
negara yang kemudiannya disiarkan dalam media bercetak maka tuduhan juga
dilemparkan kepada BN-Umno.
“Macam mana BN-Umno mahu memanipulasi media asing yang menyiarkan
kenyataan Anwar berkaitan sokongannya terhadap Israel di dalam Wall
Street Journal sedangkan mereka bukan dikawal oleh BN sebagaimana
tuduhan kepada media arus perdana yang kononnya dikongkong dan tidak ada
kebebasan bersuara,” bidasnya.
“Sebelum ini pun Anwar pernah mempropagandakan Malaysia sebagai sebuah
negara yang negatif dan tidak selamat, dan kemudian mengeji pakaian
batik Malaysia ketika berada di Indonesia sedangkan ia tidak sewajarnya
dipolitikkan,” tegasnya.
Pssssst: Pakatan menuju kehancuran!
No comments:
Post a Comment