Jika PKR mahu penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi
perdana menteri ketujuh, Pas juga bertegas mahukan Presiden mereka,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjawat jawatan itu.
Perkara itu dinyatakan sendiri Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun
Taib ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali
sebagaimana dipetik sebuah portal politik dalam ucapan dasar beliau di
kongres PKR kelapan di Johor Bahru, 25 November lalu.
Harun tidak menolak, jika Pakatan Rakyat (PR) berjaya memerintah negara
pada pilihan raya umum akan datang dan Pas menyumbang kerusi yang
banyak kepada PR, sudah tentu parti-parti lain tiada masalah untuk
menjadikan Presiden Pas sebagai Perdana Menteri.
“Kalau mereka (PKR) mahu begitu, kita juga mahu Presiden Pas jadi Perdana Menteri,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Harun bagaimanapun menegaskan, perkara berhubung siapa jadi Perdana
Menteri tidak perlu dibangkitkan buat masa ini memandangkan PR belum
berjaya membentuk kerajaan.
Apa yang penting katanya, PR perlu bekerja untuk memastikan kemenangan
menumbangkan Barisan Nasional (BN) sebelum mengetengahkan soal pemimpin
yang layak menyandang jawatan penting itu.
“Kita perlukan kemenangan dalam pilihan raya, itu yang penting. Soal
siapa jadi perdana menteri, tidak mustahak. Kalau kita cakap besar
tetapi tidak menang, tiada gunanya,” katanya.
Mengulas lanjut kenyataan Azmin, Harun menjelaskan beliau tidak tahu
menahu mengenai perkara itu dan menyifatkan Azmin hanya berkhayal.
Jelasnya, jika benar ada keputusan bahawa Anwar menjadi Perdana
Menteri ketujuh, sudah tentu perkara itu telah dibincangkan secara rasmi
membabitkan ketiga-tiga parti dalam PR.
Bagaimanapun, katanya, belum ada sebarang perbincangan meja bulat mengenainya sehingga kini.
“Parti yang tidak boleh menubuhkan kerajaan sendiri bergantung atas
keputusan bersama sebagaimana PR dan perkara ini akan diputuskan
pimpinan PR. Sekarang ini (keputusan siapa jadi perdana menteri) belum
ada.
“Itu dia (Azmin) punya pandangan tetapi bagi kita, selepas menang pilihan raya nanti baru diputuskan,” katanya.
No comments:
Post a Comment