ANIMSI

home

Followers


Monday, 22 August 2011

NANU BAHARUDIN AMAL MAZHAB LAIN???LAGI SEKALI NANU MEMANG SUKA MAIN DENGAN ANJING!!!! MASYALLAH!!!

 
 
Hukum Membela Anjing Sebagai Binatang Peliharaan
Mufti Sheikh Ahmad Kutty

Terjemahan Isi:

Anjing boleh dibela untuk tujuan-tujuan yang berikut:

1. Anjing yang dilatih (anjing terlatih) untuk kerja-kerja memburu. Harus diingat, Islam hanya membenarkan pemburuan untuk mendapatkan makanan; bukan memburu kerana sukan, suka-suka dan berseronok-seronok kerana Islam tidak membenarkan haiwan dibunuh atau diseksa atau diusir dari tempat yang lazim mereka tinggal, hanya untuk suka-suka.

2. Membela anjing terlatih sebagai jurupandu. Ini mungkin diperlukan oleh orang yang buta dan mungkin orang itu perlu memelihara anjing untuk memberi khidmat yang diperlukannya. Dalam hal itu, orang itu dibenarkan memelihara anjing di dalam rumah apabila anjing itu telah dilatih untuk menjalankan khidmat berkenaan, tetapi masih tetap disyorkan supaya anjing itu ditempatkan di tempatnya sendiri/secara berasingan daripada tuannya .

3. Anjing terlatih untuk kegunaan tugas-tugas kepolisian.
4. Anjing terlatih untuk menjaga rumah atau harta.
5. Anjing terlatih untuk digunakan oleh penternak/peladang untuk kerja-kerja menggembala kambing/lembu.

Bagaimanapun kita tidak dibenarkan memiliki/membela anjing sebagai binatang peliharaan oleh sebab anjing bukanlah binatang yang begitu bersih. Kita sendiri sering melihat bagaimana anjing menjilat-jilat najisnya sendiri. Tentulah menjijikkan kalau kita kemudiannya melihat tuan punya anjing berkenaan mencium mulut anjing tersebut setelah berlakunya insiden berkenaan seolah-olah tidak ada apa-apa perkara yang berlaku. Fikirkanlah berapa banyak kuman yang mungkin bersembunyi di dalam mulut mereka (mulut anjing dan mulut pemelihara yang mencium anjing itu).

Nabi saw mengingatkan kita supaya tidak dicemari kotoran semacam itu apabila baginda memerintahkan supaya kita menghindari air liur anjing. Kalau ditakdirkan kita tersentuh juga dengan air liur anjing, maka kita dikehendaki menyamak tempat yang terkena air liur berkenaan dengan tujuh bilasan air dan basuhan yang pertama mestilah dengan pasir atau tanah. Juga, boleh menggunakan sabun anti bakteria sebagai ganti tanah atau pasir berkenaan.

Sebagai kesimpulan: Jangan bercita-cita dan berfikir-fikir untuk menjadikan anjing sebagai binatang peliharaan anda. Bagaimanapun , jika anda memang benar-benar memerlukan seekor anjing untuk tugas-tugas yang dinyatakan di atas, anda boleh berbuat demikian, tetapi anda mestilah pastikan dan segenap langkah mestilah diambil supaya tidak menyentuh air liurnya, dan anjing berkenaan seharusnya mempunyai tempat tinggal di tempat berasingan.
Jangan dibiarkan anjing merayau-rayau berhampiran kediaman kita dan bercampur gaul dengan binatang ternakan kita.Dikuatir ia akan menjamah minuman dan makanan ternakan kita kerana air liurnya juga najis.

PANDANGAN KE-2

Dalam sebuah hadisnya Rasulullah S.A.W bersabda:

"Apabila seekor anjing minum dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka basuhlah ia tujuh kali."

Hadis ini dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Shahih al-Bukhari - no: 172. Dalam riwayat-riwayat lain diterangkan bahawa salah satu basuhan hendaklah bersama dengan tanah. Sebahagian riwayat menyebut basuhan kali pertama, sebahagian lagi kali terakhir dan sebahagian lagi kali ke-lapan. Yang rajih (kuat) adalah basuhan kali pertama kerana keterpeliharaan riwayat-riwayatnya. [Ibn Hajar al- `Asqalani - Fath al-Bari bi Syarh Shahih al Bukhari (tahqiq Bin Baz; Dar al-Fikr, Beirut), jld. 1, ms. 369-370 dan al-Albani - Irwa' al-Ghalel fi Takhrij Ahadith Manar al-Sabil (Maktab al-Islami, Beirut 1985), jld 1, ms 62]

Berdasarkan hadis ini wujud dua pendapat tentang kenajisan anjing. Pendapat pertama berkata anjing adalah najis keseluruhannya manakala pendapat kedua berkata ianya tidak najis keseluruhannya. Perinciannya adalah seperti berikut:

Pendapat pertama dan dalil-dalilnya:

Pendapat pertama menyatakan bahawa seluruh anjing sama ada kecil atau besar adalah najis. Ini adalah pendapat mazhab al-Syafi`iy dan Hanbali. [Wahbah al-Zuhaili - Fiqh al-Islami wa Adilatuhu (Dar al- Fikr, Damsyik 1994), jld. 1, ms. 305] Dalil mereka adalah seperti berikut:

Dalil pertama adalah berdasarkan kaedah qiyas:

Sabda Rasulullah S.A.W untuk membasuh bekas yang diminum oleh anjing adalah dalil bagi menunjukkan najisnya lidah, air liur dan mulut anjing. Memandangkan lidah dan mulut adalah anggota utama haiwan dan ia dikategorikan sebagai najis maka sudah tentu lain-lain anggotanya -yakni seluruh badannya - adalah najis juga. Lebih dari itu air liur anjing terhasil daripada peluhnya sendiri, maka jika peluh yang keluar dari mulut (yakni air liur) adalah najis maka sudah tentu peluh yang keluar daripada seluruh badannya adalah najis juga. Maka dengan itu seluruh badan anjing adalah najis.

Dalil kedua adalah berdasarkan sebuah hadis:

Bahawasanya Rasulullah S.A.W diundang ke rumah satu kaum lalu baginda memenuhi undangan tersebut, kemudian baginda diundang ke rumah satu kaum yang lain namun tidak baginda memenuhinya. Lalu ditanya kepada baginda kenapa? Baginda menjawab: "Sesungguhnya pada rumah si fulan itu ada anjing." Lalu dikatakan kepada baginda: "Dalam rumah si fulan (undangan pertama) ada kucing. Baginda menjawab: "Sesungguhnya kucing bukan najis."

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Daruquthni dan al-Hakim.

Berdasarkan hadis ini difahami bahawa anjing adalah najis (berbeza dengan kucing yang bukan najis).

Pendapat kedua dan dalil-dalilnya.

Pendapat kedua menyatakan bahawa anjing tidak najis seluruhnya, demikian yang masyhur daripada Mazhab Maliki. Mazhab Hanafi berpendapat seumpama kecuali terhadap mulut, air liur dan tahi anjing, ketiga-tiga ini mereka kategorikan sebagai najis. [Wahbah al-Zuhaili - Fiqh al-Islami wa Adilatuhu, jld. 1, ms. 305]

Mazhab Maliki berpendapat suruhan Rasulullah S.A.W untuk membasuh bekas yang diminum oleh anjing bukanlah disebabkan oleh kenajisan mulut, lidah dan air liur anjing tetapi disebabkan kepada ketaatan kepada Allah semata-mata (ta'abudi).

Mereka berpendapat sedemikian dengan merujuk kepada lain-lain hadis Rasulullah s.a.w. yang membenarkan penggunaan anjing terlatih untuk berburu dan tiadalah seekor anjing memburu dan membunuh mangsanya melainkan melalui gigitan mulutnya. Haiwan yang ditangkap oleh anjing
buruan tersebut adalah tetap suci untuk dimakan seluruhnya berdalilkan firman Allah Subhanahu wa Ta`ala:

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?" Bagi menjawabnya katakanlah: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya. [Surah al-Maidah 5:04]

Berdasarkan gabungan dalil-dalil ayat di atas dan hadis-hadis yang membenarkan penggunaan anjing terlatih untuk memburu, mazhab Maliki berpendapat bahawa mulut, lidah dan air liur anjing bukanlah najis.

Sedikit berbeza adalah mazhab Hanafi di mana mereka berpendapat anjing bukan najis namun mulut, lidah dan air liurnya adalah najis dengan merujuk secara zahir kepada hadis yang pertama di atas.

Pendapat yang rajih (kuat):

Pendapat yang dianggap rajih (terkuat) adalah pendapat yang kedua. Sebab-sebabnya adalah seperti berikut:

Pertama:

Kaedah qiyas yang digunakan untuk menghukum seluruh anjing sebagai najis adalah qiyas yang lemah.

Ini kerana asal pengusulkan kaedah qiyas adalah bagi mencari hukum terhadap kes baru yang tidak wujud pada zaman turunnya wahyu - al- Qur'an dan al-Sunnah. `Illat atau sebab bagi kes yang baru tersebut dikaitkan secara analogi kepada satu kes yang sudah sedia wujud pada zaman penurunan wahyu.

Menggunakan qiyas untuk menghukum keseluruhan anjing sebagai najis tidak dianggap kuat kerana anjing pada asalnya sudah wujud pada zaman turunnya wahyu. Bererti ia bukanlah kes yang baru. Apabila sesuatu kes itu sudah sedia wujud di zaman penurunan wahyu dan tidak ada wahyu yang menerangkan hukumnya, bererti sememangnya Allah tidak bermaksud untuk menurunkan apa-apa hukum ke atasnya.

Apabila tiada hukum yang diturunkan maka ia kembali kepada kedudukan yang asal, iaitu halal/harus/bersih. Firman Allah:

"Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi." [al-Baqarah 2:29]

"Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti." [Al-Jatsiyah 45:13]

Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran. [Luqman 31:20]

Kesimpulannya, anjing adalah haiwan yang sedia wujud pada zaman Rasulullah S.A.W. Apabila tiada ketentuan hukum diturunkan dalam persoalan najis atau tidaknya anjing, bererti hukum anjing kembali kepada yang asal, iaitu ia adalah haiwan yang tidak najis.

Kedua:

Hadis yang menerangkan keengganan Rasulullah S.A.W memenuhi undangan kerana ada anjing di dalam rumah adalah lemah (dha`if).

Syaikh `Adl Ahmad `Abd al-Mawjud dan Syaikh `Ali Muhammad Ma'wudh dalam semakan mereka ke atas kitab Sunan al-Daruquthni (Dar al- Ma'refah, Beirut 2001), jld. 1, ms 171 telah mentakhrij hadis tersebut dan ia dapat diringkaskan sebagai:

"Dikeluarkan oleh Ahmad (2/442), al-Hakim (1/183), al-`Uqaili dalam al-Dhu`afa' (3/386) dan al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (1/151); setiapnya daripada jalan `Isa bin al-Nusayyab, daripada Abi Zur'ah, daripada Abi Hurairah.

Berkata al-Hakim: Dan `Isa bin al-Musayyab berseorangan daripada Abi Zur'ah kecuali bahawasanya beliau benar (shaduq) dan tidak tidak dicela secara pasti. Namun ini kemudiannya diikuti dengan komentar al- Zahabi: "Berkata Abu Daud (tentang `Isa bin al-Musayyab): Dha'if.
Berkata Abu Hatim: Tidaklah dia kuat.

Diriwayatkan oleh al-`Uqaili daripada Yahya bin Ma'in bahawa dia berkata: `Isa bin al-Musayyab dha'if.

Berkata al-Haitsami di dalam al-Majma' (4/4: Diriwayatkan oleh Ahmad dan di dalam (sanadnya) terdapat `Isa bin al-Musayyab, dinilai terpercaya (thiqah) oleh Abu Hatim dan dha'if oleh selainnya. (Ini tidak benar) kerana Abu Hatim tidak menilai beliau thiqah, beliau hanya berkata tentangnya dalam al-Jarh wa al-Ta'dil (6/288): Dianggap shaduq akan tetapi kuat."

Demikian takhrij oleh Syaikh `Adl Ahmad `Abd al-Mawjud dan Syaikh `Ali Muhammad Ma'wudh.

Al-Daruquthni dan al-Baihaqi menilai `Isa bin al-Musayyab sebagai "shalih al-Hadis." Akan tetapi dalam ilmu hadis sedia diterangkan bahawa apabila bertembung celaan dan pujian, hendaklah diunggulkan celaan tersebut.

Oleh kerana itu Syaikh Syu'aib al-Arna'uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Sunan al-Daruquthni (Muassasah al-Risalah, Beirut 2004), jld 1, ms 103 telah mengkategorikan hadis ini sebagai: "Hadis Dha'if."

Kesimpulannya, hadis ini dha'if dan tidak boleh dijadikan sumber dalil dalam perkara hukum.


Ketiga:

Hadis yang dijadikan dalil dalam Mazhab al-Syafi'iy berakhir dengan lafaz: "Sesungguhnya kucing bukan najis." Lafaz ini sebenarnya tidak wujud di dalam mana-mana kitab hadis yang meriwayatkan hadis tersebut.

Lafaz yang terdapat dalam Sunan al-Daruquthni adalah:

Rasulullah S.A.W pernah datang ke rumah satu kaum daripada kalangan orang-orang Anshar namun baginda enggan masuk rumah mereka. Ini menimbulkan kegelisahan ke atas mereka (tuan rumah) lalu mereka bertanya: "Ya Rasulullah, anda datang ke rumah si fulan tetapi anda enggan pergi ke rumah kami." Maka baginda menjawab: "Ini kerana rumah kamu ada anjing." Mereka berkata: "Akan tetapi pada rumah mereka ada kucing." Rasulullah menjawab: "Kucing adalah sejenis binatang buas (yakni tidak tetap penjagaannya, sering merayau-rayau)."

Oleh kerana itu al-Hafiz al-`Iraqi telah berkata: "Seandainya sabit tambahan ini (yakni "Sesungguhnya kucing bukan najis."), ia telah menjadi sumber pendalilan yang masyhur. Akan tetapi ianya tidak dikenali asal usulnya di dalam mana-mana kitab hadis yang sedia ada. Padahal hadis ini diriwayatkan dengan tambahannya oleh Imam Ahmad, dalam musnadnya, al-Daruquthni dalam sunannya dan al-Hakim dalam mustadraknya daripada riwayat `Isa bin al-Musayyab daripada Abi Zur'ah daripada Abi Hurairah, kecuali mereka tidak menyebut dalam (kitab-2 mereka) lafaz: "Sesungguhnya kucing bukan najis."

Sesunguhnya yang disebut adalah sabda Nabi S.A.W: "Kucing adalah sejenis binatang buas."

Dan berkata al-Daruquthni sesudah mengeluarkan hadis tersebut: "'Isa bin al-Musayyab Shalih al-Hadis." Dan berkata al-Hakim: "Hadis ini sahih isnad dan tidak dikeluarkan (oleh al-Bukhari atau Muslim) dan `Isa bin al-Musayyab berseorangan daripada Abi Zur'ah, akan tetapi (tak mengapa) kerana dia benar (shaduq) dan tidak dicela secara pasti."

Saya (al-Hafiz al-Iraqi) berkata: Bahkan yang benar dia telah dicela oleh Ibn Ma'in, dan Abu Daud dan al-Nasa'iy dan Ibn Hibban, dan oleh al-Daruquthni sendiri di tempat yang lain.

Sekian al-Hafiz al-`Iraqi daripada kitabnya: Thahr al-Tastrib bi Syarh al-Taqrib al-Asanid wa Tartib al-Masanid (Dar al-Fikr, Beirut), jld. 2, ms 123).

Oleh itu kesimpulannya hadis yang dijadikan dalil kenajisan anjing tertolak dari dua sudut: pertama adalah kelemahan sanadnya manakala kedua adalah tambahan lafaz "Sesungguhnya kucing bukan najis" sebenarnya tidak wujud dalam mana-mana kitab hadis.


Berdasarkan tiga sebab di atas, maka yang rajih (kuat) ialah pendapat kedua, iaitu anjing tidak najis termasuklah air liurnya. Hadis yang menyuruh menyucikan bekas yang dijilat oleh anjing tidak semestinya bererti jilatan anjing itu najis, sebagaimana kita manusia juga disuruh berwudhu' dan bertayamum - suruhan ini tidaklah bererti kita najis. Akan tetapi ia adalah ketaatan kita kepada perintah Allah dan Rasul-Nya semata-mata.

Inilah juga merupakan pendapat Syaikh Yusuf al-Qaradhawi. Setelah mengkaji dalil masing-masing mazhab, beliau menulis:

"Di antara yang najis ialah air liur anjing. Disebut dalam Shahih al- Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: Apabila seekor anjing minum dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka basuhlah ia tujuh kali.

Ini juga sebagaimana telah ditetapkan menurut hadis keduanya (al- Bukhari dan Muslim) dan selain keduanya daripada hadis Abdullah bin Mughaffal tentang kenajisannya. Dengan demikian, jelaslah tentang najisnya air liur anjing itu.

Bahkan, di sana ada beberapa fuqaha yang menyebutkan tentang kenajisan semua anggota tubuh anjing. Padahal tidak ada dalil yang menunjukkan hal ini baik dari Al-Quran maupun sunnah Rasulullah. Sedangkan pengambilan dalil tentang dijilat atau minumnya anjing dari tempat air, maka itu khusus untuk sesuatu yang diiiiat saja. Tidak ada yang menunjukkan pada kenajisan anjing secara keseluruhan: daging, tulang, darah, bulu, dan keringat. Sedangkan mengqiyaskan ini dengan jilatan anjing, adalah bentuk qiyas yang sangat jauh sekali, sebagaimana disebut oleh Imam As-Syaukani. Khususnya jika dikaitkan dengan hadits Abdullah bin Umar: Anjing masuk dan keluar di masjid pada .masa Rasulullah dan para sahabat tidak memercikkan air apa pun. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Abu Dawud).

Ada juga sebagian yang lain yang mengatakan tentang kesucian semua anggota tubuh anjing dan mengatakan, Sesungguhnya dicucinya tempat yang dijilat anjing adalah masalah yang bersifat ibadah (ta'abbudi), yang hikmahnya hanya Allah yang tahu. Sedangkan yang wajib kita lakukan adalah mengamalkan apa yang ada di dalam nash walaupun kita tidak mengetahui hihmahnya. Ini adalah madzhab Imam Malik.

Imam Malik berhujah bahwa Allah membolehkan makan dari hasil buruan anjing tanpa memerintahkan kita untuk mencucinya. Sebagaimana yang Allah Ta'ala firmankan: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?" Bagi menjawabnya katakanlah: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya. [al-Maidah 5:04]

Sedangkan saya sendiri (al-Qaradhawi) cenderung pada pendapat Imam Malik bahwa semua yang hidup adalah suci. Demikianlah juga dengan anjing. Dalam zatnya dia suci. Oleh sebab itulah, dibolehkan bagi kita untuk memakan hasil buruannya. Dan perintah Nabi untuk mencuci apa yang dijilat anjing adalah sesuatu yang bersifat ta'abbudi. Sedangkan penemuan ilmu moden tentang sesuatu yang menyangkut air liur anjing bahwa di dalamnya ada penyakit-penyakit, kemungkinan penemuan selanjutnya akan lebih mengejutkan."

Sekian al-Qaradhawi dalam bukunya yang terbaru - Fiqh al-Thaharah (edisi Indonesia atas judul yang sama, al-Kautsar, Jakarta 2004), ms. 21-22. Perhatikan juga bahawa kata-kata terakhir al-Qaradhawi tentang kajian ilmu kedoktoran - sama ada berpenyakit atau tidak air liur anjing - merupakan pendapat beliau yang terbaru, membatalkan pendapat beliau yang lama dalam al-Halal wa al-Haram fi al-Islam.

Seterusnya timbul persoalan - Jika anjing tidak najis, haruskah kita mencuci jilatannya jika ia menjilat kita atau perkakas kita?

Jawapannya ya, berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W yang menyuruh kita mencuci jilatan anjing. Kita mencucinya bukan kerana ia najis tetapi kerana taat kepada perintah Rasulullah S.A.W.

Kemudian, apakah cucian tersebut wajib dengan tujuh kali basuhan diawali dengan campuran tanah atau boleh dicuci dengan apa sahaja yang bersifat menyucikan? Di sini para fuqaha berbeza pendapat sama ada boleh menggunakan sabun bagi menggantikan tanah. Syaikh al- Qaradhawi dalam bukunya Fiqh al-Thaharah, ms 61-63 menerangkan bahawa sebahagian fuqaha Syafi`iyyah dan Hanabilah kontemporer membolehkan penggunaan sabun. Bahkan Mazhab Maliki mengatakan penggunaan tanah/debu adalah tidak wajib, ia sunnah sahaja.

Pendapat yang dipertengahan lagi mendekati hadis-hadis Rasulullah S.A.W ialah mencuci jilatan anjing dengan tujuh kali basuhan diawali dengan campuran tanah. Akan tetapi jika tidak ditemui tanah atau pada saat itu tidak sesuai untuk menggunakan tanah maka dibolehkan menggunakan sabun atau apa jua yang sifatnya menyucikan. Ini kerana mencuci jilatan anjing ialah duduk dalam bab ketaatan kepada perintah syari`at dan ketaatan ini adalah berdasarkan kemampuan setiap individu berdasarkan kesenangan dan kesukaran yang dihadapinya. Jika menghadapi kesukaran untuk mentaatinya maka syari`at memberi kelonggaran sekadar mana yang perlu.

Allah Subhanahu wa Ta`ala berfirman: "Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran- pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya)." [al- Taghabun 64:16]

Sabda Rasulullah S.A.W:


"Apa sahaja yang aku larang kamu daripadanya maka tinggalkanlah ia dan apa sahaja yang aku perintahkan kamu dengannya maka lakukanlah ia sedaya upaya kamu." [Shahih Muslim no: 1337, Hadis 40 Imam al-Nawawi, # 9]

Wallahu alam

No comments:

Post a Comment