SAYA MACAM MANA??
PKR Selangor mendesak Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim
menggantung sementara Setiausaha Politiknya, Faekah Husin bagi menyiasat
kebenaran dakwaan penyalahgunaan kuasa yang dilakukannya berhubung isu
penggunaan kepala surat Pejabat Menteri Besar.
Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi
Shafie dimana Pengerusi PKR Selangor diterajui oleh Azmin Ali, Timbalan
Presiden PKR.
“Saya rasa adalah lebih baik digantung dulu tugas pegawai yang
terlibat (Faekah) supaya siasatan dapat dilakukan. Untuk mengelakkan
rasa tidak puas hati… saya berpandangan elok digantung dulu seperti
kes-kes sebelum ini dan tindakan itu dilihat jauh lebih konsisten.
“Jadi tidaklah nanti menjadi tuduhan-tuduhan besar, Menteri Besar melindungi Setiausha Politiknya,” katanya kepada Antarapos.
Pada 21 Jun lalu, laman sel13.com
mendedahkan dua dokumen berupa dua pucuk surat iaitu sepucuk surat
dari firma guaman yang bernama Sidrek Zeenat Asyiqin & Associates
kepada Faekah untuk memohon agar dilantik sebagai panel peguam kepada
GLC negeri Selangor, manakala sepucuk surat lagi adalah dari Faekah
Husin kepada Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad,
Dato’ Haji Ahmad Bin Omar, menggunakan kepala surat Pejabat MB Selangor
meminta agar firma guaman tersebut diberi peluang sebagai panel peguam
PNSB.
“Permohonan itu dilakukan oleh salah seorang peguam yang menjadi
rakan kongsi kepada firma berkenaan yang bernama Zeenat Asyiqin Binti
Dato’ Ahmad Zaki . Surat permohonan yang bertarikh 27 Jun 2011 itu
dihantar melalui tangan dan diterima pada 28 Jun 2011 .
“Semakan yang kami lakukan , didapati Zeenat Asyiqin Binti Dato’Ahmad
Zaki adalah anak saudara Faekah Husin. Anak kepada abang Faekah, Dato’
Ahmad Zaki Husin yang kami difahamkan beliau adalah bekas Ketua Pengarah
BPR satu masa dulu,”lapor sel13.com
Berdasarkan surat itu, Ketua Penerangan PKR Selangor meminta Khalid
merujuk kepada perenggan terakhir surat yang ditulis oleh Faekah kepada
Ketua Pegawai Eksekutif PNSB itu:
Perenggan itu berbunyi: “Pentadbiran ini (Tan Sri Abdul Khalid) juga
berpandangan bahawa peluang HARUS diberikan (kepada syarikat Zeenat
Asyiqin & Associates) selagi ia tidak menyalahi mana-mana peraturan
syarikat.”
Kata Shuhaimi ayat dalam perenggan itu tidak kena pada tempatnya
kerana boleh diibaratkan sebagai cubaan mempengaruhi proses dalaman PNSB
melantik panel guamannya.
“Cuma dalam para keempat (surat Faekah kepada PNSB), sepatutnya tidak
harus wujud begitu. Dia sepatutnya terus mengatakan mesti tiada
halangan meyokong tertakluk kepada syarat-syarat tertentu dan itu lebih
lunak dan tidak mengganggu syarikat (PNSB),” kata Shuhaimi yang juga
ADUN Sri Muda.
Katanya lagi Khalid juga harus dilihat konsisten dalam tindakannya,
di mana dalam kes-kes sebelumnya, mana-mana kakitangan yang melakukan
perkara yang sama seperti Faekah akan dikenakan tindakan.
“Kalau kita lihat seperti kes sebelum ini, maka adalah lebih baik
kita konsisten dengan keputusan itu dan sewajarnya pegawai yang terlibat
digantung daripada tugasnya untuk diadakan satu sisatan dalaman bagi
membersihkan nama pegawai yang terlibat,” katanya.
Pada tahun 2010, kerajaan negeri pimpinan Khalid memecat seorang Ahli
Majlis Perbandaran Kelang kerana mengeluarkan surat sokongan kepada
syarikat milik anaknya untuk mendapatkan kontrak pungutan sampah.
Sebelum itu, Khalid Ibrahim juga menggantung tugas Pegawai Khas
beliau sendiri, Mohd Yahya Sahri kerana menyalahguna kepala surat
Pejabat MB Selangor untuk tujuan mengutip derma dari syarikat swasta
bagi sambutan 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor.
Mohd Yahya Sahri juga dituduh menyalahguna kepala surat berkait
dengan kelulusan kontrak pembersihan dan pelupusan sampah di kawasan
Petaling Jaya. Beliau meletak jawatan pada Jun 2008.
Shuhaimi berkata Khalid harus konsisten dalam menangani isu
penggunaan kepala surat Menteri Besar oleh Faekah demi mempertahankan
kewibawaan kerajaan negeri.
Seorang lagi Exco Kerajaan Selangor, Iskandar Abdul Samad dari PAS turut menyokong gesaan PKR Selangor.
“MB sendiri perlu mempertimbangkan perkara ini. Bukan sahaja surat
ini, malah jika ada surat-surat yang sebelum ini, (juga) perlu diteliti.
Kenapa surat ini sahaja yang menjadi isu,” katanya.
Iskandar berkata amalan mengeluarkan surat sokongan daripada pejabat Perdana Menteri tidak harus digalakkan.
“Seboleh-bolehnya tidak diteruskan. Surat ini tidak ada makna tetapi
rakyat yang akan melihat perkara ini,” katanya seperti dilaporkan Antarapos.
No comments:
Post a Comment